Kuala Lumpur – Pada mulanya, teater Cicit Wan Lebo dirancang untuk dipentaskan mengikut konsep “teater laman” di Kampung Bota Kiri, Parit, Perak, iaitu teater terbuka berlatarbelakangkan rumah kampung di Bota, Perak.

Menurut Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Dato’ Mohd. Nizar Zakaria, Pengarah Cicit Wan Lebo, iaitu Amran Nasrudin telah berbincang dengan beliau kira-kira tiga tahun lalu menerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM) untuk mementaskan teater ini mengikut konsep sedemikian.

Bagi Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit, Perak, cadangan tersebut sangat menarik kerana lokasinya di tempat dan kawasan Parlimen beliau sendiri. Skrip yang juga menggunakan loghat Perak Tengah, khususnya loghat Parit, tambah beliau, dapat mengimbau kembali bahasa nenek moyang yang digunakan sebagai bahasa perantara masyarakat tempatan di daerah tersebut.

Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab, termasuk kekangan prosedur operasi standard (SOP) akibat pandemik COVID-19, pementasan Cicit Wan Lebo tidak dapat dipentaskan mengikut perancangan.

Begitu pun, Nizar tetap mengucapkan syabas kepada YAVM dan Pengerusinya, Kismah Johar, serta tenaga produksi kerana berjaya mementaskan Cicit Wan Lebo pada 28 hingga 31 Disember 2021 ini dalam kebiasaan baharu dan norma baharu SOP di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), setelah hampir tiga tahun berusaha mendapatkan peruntukan pementasannya.

Selama kira-kira 90 minit durasi pementasan, Cicit Wan Lebo yang berlatarbelakangkan cerita masyarakat di kampung Ekor, Bota pada sekitar 1970-an, membawa kisah seorang wanita bernama Wan Esah atau lebih mesra dipanggil Wan Lebo (lakonan Anne Zahurin), yang terkenal sebagai penglipur lara, serta berbakat dalam seni dan budaya menerusi syair, pantun dan seloka.

Anne Zahurin berjaya membawa watak Wan Esah @ Wan Lebo yang terkenal sebagai penglipur lara, serta berbakat dalam seni dan budaya menerusi syair, pantun dan seloka, selain handal merawat pesakit.

Cicit Wan Lebo turut dijayakan oleh pelakon terkenal drama televisyen, iaitu Lan Zailan sebagai Ngah Meto, Fathil Dani (Lebai Idris), dan Zarina Zainudin (bintang undangan), serta pelakon dan pelukis popular, Imuda.

Para pelakon lain termasuklah Alif Azeman (Kadio), Rose Aida (Rose Ratu Banjar), Raffie (Yeop Tebo), Zuraida (Mak Piah),Azmie Daim (geng Ngah Meto 1), Razif Ajeep (geng Ngah Meto 2), Ewan Deen (Tok Kadi), serta Hazryn dan Syawal (pelajar universiti).

Selain mengangkat loghat masyarakat Parit, dan menarik pelancong, pementasan Cicit Wan Lebo juga bertujuan mengisi tabung YAVM, sekali gus membantu golongan artis veteran yang terkesan akibat COVID-19 menerusi pembelian kupon atau pas masuk RM30 dan RM20 seorang.Buletin JendelaDBPInginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?