PARIT, 4 MAC – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berhasrat untuk memohon peruntukan tambahan bernilai RM150 juta menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK -12) bagi menyelesaikan masalah banjir di Perak Tengah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad berkata permohonan bersifat penyelesaian menyeluruh itu bagi membolehkan KASA menjalankan projek Rancangan Tebatan Banjir yang membabitkan Mukim Bota, Mukim Lambor Kanan dan Mukim Layang-Layang.

“Untuk mengatasi masalah banjir di seluruh kawasan ini, maka kita menjangkakan kita perlu mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan dan ini kita akan angkat kepada kerajaan untuk penyelesaian secara menyeluruh.

“Maka dalam konteks jangka panjang. permohonan untuk menyelesaikan secara menyeluruh, rancangan tebatan banjir di perak tengah ini adalah dianggarkan bernilai lebih kurang RM150 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan Kampung Parit 14 dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Rimba Raja di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali.

Tambah Ahmad Masrizal, KASA juga akan memohon peruntukkan tambahan RM13 juta daripada kerajaan bagi menempatkan masing-masing dua rumah pam di Kampung Parit 14 dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Rimba Raja.

Katanya kejadian banjir pada November tahun lalu telah menjejaskan 135 hektar kawasan penanaman kelapa sait di Kampung Parit 14 sementara banjir pada Januari menjejaskan 400 hektar kawasan penanaman kelapa sawit serta sawah padi di PPRT Rimba Raja.

Justeru beliau berkata permohonan yang dijangka akan diluluskan pada tahun hadapan itu akan memberi manfaat kepada lebih 100 keluarga di dua buah kawasan berkenaan.

Tambahnya bagi penyelesaian masalah jangka masa pendek, JPS telah diarahkan bagi menempatkan pam air bergerak di beberapa kawasan lain yang dikenal pasti menghadapi masalah banjir yang teruk dan menjejaskan kehidupan penduduk.

“Di Perak Tengah ini ada banyak lokasi yang sering berdepan masalah banjir, antara yang dikenal pasti termasuklah Kampung Tanjung Bidara, Kampung Pisang, Kampung Raja, Kampung Buluh Akar, Kampung Sadang dan Serapoh.

“Untuk penyelesaian jangka pendek dan mengurangkan masalah banjir, saya telah mengarahkan JPS menyediakan pam bergerak,” kata beliau.

Dalam lawatan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air turut bersetuju meluluskan peruntukan segera RM500,000 kepada JPS Perak bagi menjalankan kerja-kerja naik taraf struktur tebing Sungai Senin yang mengalami hakisan teruk hingga merosakkan jalan perhubungan sedia ada.