21 SEPT: Kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negara dan kementerian lain perlu menyediakan satu dokumen lebih jelas mengenai konsep Keluarga Malaysia supaya lebih teratur penghayatannya dan tidak disalahtafsirkan.

Ahli Parlimen BN-Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata tindakan itu perlu bagi memastikan konsep Keluarga Malaysia akan menjadi teras atau pegangan rakyat Malaysia seperti Rukun Negara.

Mohd Nizar juga berharap pendekatan kekitaan dalam Keluarga Malaysia akan mempengaruhi setiap lapisan masyarakat dan cadangan program penghayatan Keluarga Malaysia.

“Pengenalan Keluarga Malaysia amat tepat dan sangat wajar diterjemahkan ketika rakyat Malaysia dalam keadaan resah memikirkan apa yang berlaku esok.

“Terjemahan Perdana Menteri telah mengembalikan kita kepada perkara asas iaitu permulaan kehidupan dan keutuhan bermula dari keluarga yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi kebersamaan negara dengan nilai didikan yang sempurna dalam sesebuah negara.

“Menerusi Keluarga Malaysia Perdana Menteri mengajak kita untuk terus bersatu hati dan memperbaiki kelemahan dan mengembalikan kekuatan sedia ada,” katanya ketika berucap menyokong perbahasan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Berikutan itu, Mohd Nizar meminta kerajaan menyediakan satu dokumen lebih jelas mengenai konsep Keluarga Malaysia supaya lebih teratur dari penghayatan dan disalahtafsirkan.

“Apakah konsep Keluarga Malaysia akan menjadi teras atau pegangan rakyat Malaysia akan dijadikan teras atau pegangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya sama seperti Rukun Negara.

“Sejauh manakah pendekatan kekitaan dalam Keluarga Malaysia itu mempengaruhi setiap lapisan dalam Keluarga Malaysia itu mempengaruhi setiap lapisan masyarakat dan apakah program itu untuk dilaksanakan kelak,” katanya.