IPOH: Perak mengambil langkah memperketatkan syarat kelulusan pendaftaran sekolah agama dengan mengambil kira pandangan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, bomba dan Jabatan Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mengikut Enakmen Kawalan Sekolah Agama 1996, Kaedah 97, mana-mana pihak yang ingin menubuhkan sekolah agama, termasuk maahad tahfiz yang mempunyai lebih 20 pelajar, mesti mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut beliau, antara syarat itu, bangunan sekolah mesti mendapat kelulusan pihak PBT dan bomba di samping penapisan keselamatan oleh pihak polis di kalangan anggota Lembaga Pengurusan dan guru-guru sekolah berkenaan.

“Kawalan yang kita lakukan bukanlah untuk menyekat tetapi bagi memastikan sekolah agama di negeri ini lebih baik dari segi pengurusan dan pendidikan,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan penutup Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah Agama Peringkat Negeri Perak di Sekolah Izzuddin Shah di sini pada Sabtu petang.

Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Di dalam ucapannya, Drs Mohd Nizar memberitahu, setakat ini terdapat 686 buah sekolah agama di Perak dengan bilangan murid hampir 90,000 orang.

Beliau berpendapat, penubuhan sekolah agama di negeri ini telah banyak meringankan beban ibu bapa untuk mendidik sendiri anak-anak mereka dengan ilmu agama.

Bagaimanapun, kata beliau, ibu bapa juga perlu bersama-sama memainkan peranan untuk memastikan ilmu yang diperolehi anak-anak mereka dijadikan rutin atau budaya dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, Mohd Yusop pula berkata, kawalan yang dibuat terhadap sekolah agama juga untuk memastikan ia tidak tersasar daripada aspirasi dan hasrat ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.

Menurut beliau, dengan perkembangan teknologi sekarang yang mewujudkan dunia tanpa sempadan, cabaran menjadi semakin hebat seperti ancaman Daesh dan fahaman Syiah.

Two years ago, for instance, the school board of the writing a white paper template bishop’s school in la jolla, calif