Hospital Seri Iskandar dan Naik Taraf Jalan Seputeh-Parit Di Parlimen Parit Telah Diluluskan Dan Sedang Proses Pelaksanaannya, Pembangkang Jangan “Cakap Pusing-Pusing” – Kata Calon BN Parlimen Parit.
Kononnya pembinaan hospital bernilai RM145 juta itu sekadar mempunyai kemudahan 76 katil dan empat wad sahaja dan tidak mampu menampung kira-kira 100,000 penduduk di situ.
Menjawab persoalan itu, Mohd Nizar menegaskan bahawa dulu (deme) ini menjaja kisah kelewatan pembinaan hospital ini serta mempertikaikan kerajaan sudah tidak ada duit bagi projek kesihatan rakyat berkenaan.
“Sekarang ini pula diceramahkan katanya hospital ini kecil pula.
“Berpusing-pusing isu yang hendak dijaja kepada rakyat. Udah (sudah) dilihat pembangkang sekarang ini membawa isu-isu yang tidak relevan lagi.
“Bukan main berceramah sejak dua tiga hari ini. Sebenarnya status projek ini sudah dibuatnya…udah-udah dibuatnya.
“Ada kemudahan 76 katil dengan kos RM145 juta dan telah capai 5.57 peratus dalam proses pembinaan mengikut penjadualan, tetapi sekarang ini, projek ini telah mencapai 10 peratus perkembangan pembinaan.
“Maknanya kerja pembinaan hospital Seri Iskandar di tapak seluas kira-kira 18.9 ekar telah pun melebihi 15 hari bekerja lebih awal. Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat baik,” kata Mohd Nizar ketika ditemui di sini.
Beliau mengulas berhubung beberapa siri ceramah pihak lawannya bagi kerusi Parlimen Parit yang telah membangkitkan isu pembinaan Hospital Seri Iskandar serta projek menaiktaraf Jalan Seputeh-Parit yang kononnya gagal disediakan kepada rakyat Parit selama ini.
Mohd Nizar berkata, rakyat di bandar Seri Iskandar dan sekitarnya sebenarnya sudah maklum berhubung pembinaan hospital ini yang bakal memberi manfaat apabila dijangka siap pada penghujung tahun 2024 dengan kerja-kerja pembinaan hospital tersebut telah bermula pada November 2021 lalu.
Kemudahan kesihatan tersebut dibina di atas tanah seluas 18.9 ekar dengan nilai kira-kira RM145 juta itu dijangka akan menyediakan kemudahan perubatan dan kesihatan kepada 100,000 penduduk di Seri Iskandar dan sekitarnya.
Pembinaan Hospital Seri Iskandar bertujuan untuk memenuhi keperluan perkhidmatan rawatan yang semakin meningkat dan akan memberi manfaat kepada penduduk di daerah Perak Tengah serta daerah berdekatan.
Mohd Nizar berkata, pencapaian dan kelulusan projek rakyat seperti pembinaan hospital Seri Iskandar adalah hasil perjuangan rakyat melalui parti UMNO BN demi kesejahteraan rakyat.
“Yang penting ialah projek sudah diluluskan, tidak kiralah mengambil masa yang panjang. Apapun ia cukup memberi manfaat yang besar kerana rakyat mendapat kemudahan kesihatan yang lebih baik dan moden bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang.
“Kita kena bersyukur dan berterima kasih. Inilah yang dinamakan perjuangan,” katanya.
Jadi Mohd Nizar yang juga penyandang kerusi Parlimen Parit menyeru kepada rakyat supaya bijak menilai apa yang diperkatakan pihak-pihak yang cuba menjaja sesuatu isu termasuk memanipulasikan satu perkara demi kepentingan atau agenda tertentu.
“Rakyat (di Parit) ini yang melihat dan mengetahui perkara yang sebenar perlu bercerita kepada orang lain akan perkara yang diperjuangkan demi kesejahteraan rakyat selama ini,” katanya lagi.
Satu lagi isu yang cuba dimanipulasikan ialah projek naik taraf Jalan Seputeh-Parit yang mana Mohd Nizar sendiri telah memohon maklumat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa projek jalan berkenaan sudah diluluskan.
“Tidak ada isu pun kerana sudah diluluskan malahan papan tanda projek pun sudah dipacakkan.
“Cuma saya hendak memaklumkan, sesuatu projek itu yang hendak dilaksanakan perlu melalui proses atau tatacara yang betul dan teliti.
“Bagi Jalan Seputeh-Parit ini, ada lagi proses-proses pengambilalihan yang difahamkan melibatkan enam lot tanah.
“Masih belum selesai dan kerajaan masih meneliti nama atau pewaris pemilik lot tanah ini. Perkara ini perlu diteliti dahulu. Pedulikan apa yang mereka (calon lawan) katakan kerana mereka tidak tahu atau sengaja nampak tidak tahu,’ kata Mohd Nizar.
Calon BN, Mohd Nizar bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mohd Nizar yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tempoh dua penggal (2008-2013) dan (2018-2022) selain pernah bertanding dan menang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja pada 2013-2018 akan berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN)-PAS Muhammad Ismi Mat Taib, Nurthaqaffah Nordin dari Pakatan Harapan-Amanah dan Faizol Fadzli Mohamed dari Pejuang.
Ada seramai 47,915 pengundi di Parit, tahun ini.
Dalam PRU-14 lalu, Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 unit.