SERI ISKANDAR – Organisasi UMNO masih lagi kukuh di sebalik pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, setiap parti berdepan dengan pelbagai masalah dan isu masing-masing termasuk UMNO.

Menurutnya, bagaimanapun masalah tersebut ditangani dengan baik dan tidak mengganggu gugat organisasi parti.

“Parti-parti lain pun ada juga (masalah) cuma UMNO ini lebih matang, lebih dewasa, kita juga rasional dalam pelbagai perkara. Kita boleh menilai dan rakyat juga boleh menilai.

“Pada saya, kita tak ada masalah organisasi. Perjuangan tetap perjuangan. Masalah apa yang boleh kita selesaikan, kita selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Program Reskilling dan Upskilling Veteran Angkatan Tentera (ATM) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini pada Rabu.

Menurutnya, isu yang hangat ketika ini hanya bersifat sementara dan akan reda tidak lama lagi.

Mohd Nizar berkata, UMNO Bahagian Parit akan terus menyokong organisasi parti yang kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan pilihan raya.

Dalam pada itu, Mohd Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit menjelaskan UMNO Bahagian Parit tidak bercadang untuk mengemukakan laporan kepada Lembaga Disiplin parti.

Katanya, Lembaga Displin UMNO berhak untuk membuat sebarang keputusan terhadap tindakan Tajuddin yang membuat kenyataan sebelum ini.Isnin lalu, Tajuddin tanpa berselindung mendedahkan pelbagai gerakan sulit yang didakwa didalangi Ahmad Zahid sejak memenangi pemilihan jawatan Presiden UMNO pada tahun 2018.

Antara perkara dibongkar Tajuddin adalah dakwaan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak berpuas hati dengan kedudukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tawaran Ahli Parlimen Bera itu menjadi ‘poster boy’ sebagai umpan menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan gerakan mengumpul tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.