629c40_c5ce0f6ed798488f8158c1f1acfb796d-mv2

SELAMA: Buat pertama kalinya dalam sejarah  program pemukiman, Pemukiman Menteri Besar di Parlimen Larut memperkenalkan program khidmat syariah, ziarah mahabbah.

 Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan, Datuk Drs Mohd Nizar berkata, melalui program itu, mereka melawat kaum wanita yang sedang menjalani kes di mahkamah syariah.

Menurut beliau, antara tujuan lawatan itu ialah untuk memberi sokongan moral kepada wanita yang sedang menjalani kes taklik dan perceraian di mahkamah syariah.

 “Kita memberi sokongan moral kepada mereka supaya dapat meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi wanita yang tidak bekerja dan mempunyai anak,” katanya kepada Suara Perak selepas melakukan ziarah mahabbah di sini pada Selasa.

Semasa lawatan di Kg Basung dan Kg Sumatera, Drs Nizar bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Selama, Datuk Mohd Daud Mohd Yusoff turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai.

 Drs Nizar berkata, masyarakat sekeliling juga sebenarnya perlu memainkan peranan untuk membantu dan memberi sokongan moral kepada wanita yang di dalam proses taklik dan perceraian.

 “Kita tidak tahu apa sebenarnya masalah mereka, jangan kita pandang serong, sebaliknya berilah sokongan kepada mereka, khususnya yang mempunyai anak dan tidak ada kerja,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Jabatan Kehakiman Syariah Perak akan meneruskan program itu, untuk mendekatkan rakyat dengan jabatan berkenaan, selain daripada salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

 Dalam masa yang sama, Drs Nizar menasihatkan kaum lelaki supaya lebih bertanggungjawab dalam soal perkahwinan dan perceraian.

 “Kalau kita ambil daripada keluarga mereka dengan cara yang baik, lepaskanlah juga dengan cara yang baik,” kata beliau.