PARIT: Kerja-kerja pembinaan sebuah hospital baharu di Seri Iskandar di Bandar Universiti di sini sudah bermula sejak bulan lalu. 

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata,  hospital berkapasiti 76 katil itu akan memberi manfaat kepada penduduk di daerah Perak Tengah serta daerah berdekatan.

“Perancangan untuk kita berkehendakkan sebuah hospital baharu di Seri Iskandar menggantikan Hospital Changkat Melintang di dalam kawasan Parlimen Parit dan Daerah Perak Tengah ini telah berjaya. 

“Kerja-kerja projek sudah pun bermula sekitar November lalu yang mana perataan tapak sudah ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Petanque Piala Ahli Parlimen Parit, 2022 di Kampung Pasir Gajah dekat sini hari ini. 

Menurut Mohd. Nizar, meskipun perjuangan untuk memperoleh hospital berkenaan cukup panjang, namun ia berbaloi kerana akhirnya rakyat setempat mendapat kemudahan kesihatan yang lebih baik. 

“Walaupun jumlah katil hanya 76 tetapi kita menerima dengan rasa syukur dan terima kasih kerana perjuangan kita bersama orang kampung dan pemimpin terdahulu akhirnya terlaksana. 

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah meluluskan pembinaan baharu ini dan kita akan perjuangkan keperluan lain-lain yang diperlukan selepas ini,” katanya.  – UTUSAN