Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlu mengadakan kerjasama erat bersama peneraju-peneraju utama dalam ekonomi gig seperti Grab, FoodPanda, Shopee, Lazada dan sebagainya bagi membuka ruang yang lebih meluas dan mudah.

 Pandangan ini disyorkan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang mengenal pasti di bawah Fokus Kedua Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12), kerajaan akan terus menyokong ekonomi gig sebagai sumber penting pertumbuhan ekonomi.

“Malahan ekonomi gig yang saya lihat sebagai penyelamat sepanjang pandemik COVID-19.

“Sehingga sekarang, saya difahamkan hampir 4 juta tenaga kerja di Malaysia telah terbentuk daripada sektor ekonomi gig,” kata Mohd Nizar yang berbahas dalam sesi Rang Undang-undang RMKe-12 di Dewan Rakyat, petang tadi (28 September 2021).

Ekonomi gig dijangka terus berkembang pada 2021 dan tahun seterusnya selaras kadar pengangguran yang juga dijangka semakin tinggi sejak melandanya pandemik ini.

Kadar pemberhentian kerja yang tinggi ini menyebabkan platform ekonomi gig mula menjadi pilihan untuk mereka menyara kehidupan.

Ekonomi gig sering dikaitkan dengan platform Grab dan FoodPanda yang menjadi antara pilihan utama siswazah menganggur serta semakin banyak kerja profesional seperti guaman, kewangan korporat, akauntan, pengaturcaraan komputer dan lain-lain sudah mula terlibat di dalam ekonomi gig.

Peningkatan ini jelas baik untuk pertumbuhan ekonomi negara namun pelbagai persoalan berhubung faedah dan keselamatan pekerja gig ini.

Kerajaan setakat ini telah memperuntukan insentif yang melibatkan kesejahteraan pekerja gig dalam pakej Penjana bernilai RM75 juta.

Pada waktu yang sama, Mohd Nizar turut membahaskan kebajikan pekerja ekonomi gig juga perlu dilihat secara menyeluruh supaya tidak ada sebarang bentuk penindasan

“Usahasama seperti KWSP dan Perkeso bersama syarikat gig FoodPanda dan Grab sangat dialu-alukan dalam mendaftarkan rakan penghantar p-hailing dan e-hailing sebagai satu pakej melindungi dan keuntungan kepada pekerja gig jangka panjang.

“Sebab itu, saya hendak mencadangkan supaya Kerajaan memberi fokus paling utama bagi rakyat yang terlibat dengan ekonomi gig kerana ini adalah kerjaya masa depan dan mapan.

“Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 perlu meneliti serta memasukkan pelbagai faedah dan rangsangan bagi ekonomi gig, pekerja gig, bisnes platform online dan e-dagang,” kata Mohd Nizar. – BACALAHMALAYSIA.MY