KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan kerajaan berkait perolehan dan penggunaan vaksin COVID-19.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, prosiding tersebut selari dengan hasrat jawatankuasa itu dalam memastikan perbelanjaan kerajaan benar-benar telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.”Pada masa sama, PAC juga mengambil maklum mengenai terdapatnya Non Disclosure Agreeement (NDA) antara kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin COVID-19.

Secara amnya, NDA tidak sewajarnya mengekang tugas dan peranan PAC.”Bagaimanapun, dalam perkara ini, PAC akan mengimbangi antara peranan PAC dalam melaksanakan penelitian legislatif (legislative scrutiny) dengan peruntukan NDA dalam perjanjian komersial yang sedia ada, untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pelanggaran perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan pasca prosiding Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia di Parlimen pada Selasa.

Beliau turut menegaskan, PAC tidak akan berkompromi dengan prinsip ketelusan dalam menjalankan tugasan dan dalam masa sama akan menjaga kepentingan negara sementara menghormati perjanjian yang telah dimeterai.

Selain itu, katanya, PAC Parlimen untuk kali pertama akan mengadakan mesyuarat khas bersama MOSTI dan KKM sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat dalam memastikan segala syarat perjanjian berkenaan dipatuhi.

Dipanggil memberi keterangan dalam prosiding tersebut adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.Hadir sama Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.