KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengesahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hadir memberi keterangan sebagai saksi bagi prosiding tukaran tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF), semalam.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata Onn Hafiz menjadi saksi keempat pada prosiding itu selepas pendedahan Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai pembabitannya dalam projek pembinaan Kem Paloh di Kluang mulai 2016 dengan kaedah tukaran tanah (land swap).

Beliau berkata, pada prosiding diadakan di Pejabat Daerah Kluang, Johor itu, Onn Hafiz hadir atas kapasiti sebagai mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan dari 2013 hingga 2018, dan siasatan PAC menjurus kepada peranan dimainkan beliau dalam cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang mulai 2016.

“Hadir sama memberikan penjelasan dan keterangan di hadapan PAC adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Shahrazat Ahmad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Prosiding berkenaan bermula jam 4 petang dan berakhir dua jam kemudian. Pada sebelah pagi sebelum prosiding bermula, PAC melawat Kem Paloh seluas kira-kira 26.31 hektar bagi meninjau perkembangan pembinaan kem berkenaan yang dibangunkan bagi menempatkan Markas 33 Rejimen Artileri Diraja (33 RAD) dan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

Sebelum ini, saksi yang dipanggil PAC membabitkan prosiding tukaran tanah itu termasuk Pengerusi JKSTUPKK, Tan Sri Ambrin Buang pada 16 November 2020 ; Muez (30 November 2020) dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 1 Disember 2021.

Kah Woh berkata, projek tukaran tanah dan pembinaan baharu bermula pada 2012, membabitkan tukaran tanah kem asal di Kem Kinrara, Selangor seluas 38.04 hektar; pembinaan fasiliti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan, Negeri Sembilan dan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, pada 2016, cadangan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan ditukar menjadi cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang.

“PAC akan meneliti semua keterangan dan memuktamadkan laporan PAC bagi isu ini,” katanya.