KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau adalah antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang telah membuat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tegasnya, beliau tidak pernah menandatangani sebarang akuan bersumpah dan tetap teguh kepada pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terlibat dalam polemik ini. sesungguhnya saya tidak pernah menandatangani sebarang SD bagi menyokong Anwar Ibrahim. Sebagai seorang Ahli Parlimen UMNO, saya sentiasa berpegang kepada prinsip serta sentiasa akur kepada segala arahan dan keputusan yang telah dibuat oleh parti UMNO.

“Dari dahulu hingga sekarang, saya tetap setia kepada parti serta akan terus berpegang teguh kepada pendirian UMNO dan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan, terdahulu tular dakwaan Anwar mewakili Pakatan Harapan telah memperoleh sokongan 10 Ahli Parlimen UMNO dan akan mempersembahkan SD sokongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

10 Ahli Parlimen UMNO tersebut termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar melalui SD yang telah ditandatangani.

Selain Nizar, turut disenarai dalam 10 ahli Parlimen UMNO ini ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selain itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin turut tersenarai. – UMNO Online