28 SEPT: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan peruntukan perbelanjaan berjumlah RM400 bilion yang berlandaskan konsep Keluarga Malaysia dilihat mampu merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Ahli Parlimen BN-Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata peruntukan berkenaan adalah perbelanjaan tertinggi dalam rancangan Malaysia lima tahun.

Beliau juga melihat sembilan fokus utama dalam RMKe-12 boleh menjadi penyelesaian dan pemangkin kepada pertumbuhan golongan berpendapatan rendah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro, keseimbangan/kemakmuran pembangunan bandar dan luar bandar, ekonomi berasaskan teknologi hijau dan mesra alam serta pendidikan lebih menyeluruh.

Katanya, langkah berkenaan penting kerana syarikat PKS dan mikro mengalami kerugian lebih RM40.7 billion akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan COVID-19, pada 2020

“Jumlah kerugian ini adalah berdasarkan lebih 1.15 juta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), ini bermakna setiap PMKS mengalami purata pendapatan.

“Keadaan ini juga menyebab pengurangan pendapatan sebanyak 50 peratus kepada KDNK kepada 30 peratus nilai eksport negara.

“Justeru, saya mahu bertanya apakah strategi baharu akan diperkenalkan kerajaan bagi membantu usahawan PMKS yang baru memulakan perniagaan semasa pandemik COVID-19 sekarang,” katanya ketika perbahasan RMKe-12 di Parlimen hari ini.

Mohd Nizar juga berharap kerajaan akan menyediakan bantuan khas bagi membantu usahawan PMKS yang sudah gulung tikar untuk memulakan kembali perniagaan mereka pada masa depan.