Penyandang kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria terus menyantuni masyarakat Parit tanpa perlu menunggu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dikenali juga sebagai Ustaz “YB Sempoi”, keberadaan Mohd Nizar cukup disenangi masyarakat sekeling tidak mengira umur, pangkat dan kaum.

Sesiapa sahaja disapa dengan mesra bagi bertanyakan khabar malahan ramai juga masyarakat Parlimen Parit tidak kira di kawasan Bota Kanan, Bota Kiri mahu pun Bandar Universiti Iskandar boleh mengadu setiap permasalahan dan melontarkan pandangan dan idea demi pembangunan setempat.

“Saya sudah terbiasa dengan keadaan sebegini. Iaitu bertemu masyarakat seboleh yang mungkin.

“Kita kena menghargai rakyat termasuk pengundi yang menyokong saya selama ini.

“Saya ini orang kampung dan dipilih sebagai wakil rakyat mereka (kawasan Parlimen Parit) dan dulu di DUN (Belanja). Perlu memahami kehendak rakyat.

“Kerja bertemu rakyat ini tidak mengira masa. Sebab itu saya perlu berada dekat dengan rakyat. Waktu senang apatah lagi pada waktu susah ini,” kata Mohd Nizar ketika ditemui selepas menghadiri beberapa program bersama masyarakat.

Antara program yang disinggahi dan dirasmikan ialah program santai bersama belia dan orang kampung di Bota Kiri, melawat keadaan bangunan Dewan Orang Ramai Kampung Kepala Pulau Mukim Layang-Layang Parit dan merasmkan majlis penutup Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan Bota Kanan di Stadium Bakri Rais.

Dalam PRU-14 lalu, Mohd Nizar menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon PAS, Dr Najiha Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.