Perjuangan 11 tahun Yang Lalu 2010:

Mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Menaiki Kapal Rachel Corrie

Jun 2010 Tarikh yang akan terus kekal di fikiranku kerana pada tarikh tersebutlah saya dan sekumpulan sukarelawan melalui detik-detik sukar dikala proses untuk menyampaikan barang sumbangan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat di bumi Gaza terhalang disebabkan oleh tentera Zionis. Kapal Rachel Corrie menjadi pengangkutan kami dalam usaha membawa banyak bekalan sumbangan dari Malaysia kepada rakyat di Gaza antaranya barang perubatan, barang makanan, alat-alat tulis dan permainan. Namun begitu, selepas 7 hari perjalanan kami untuk ke Gaza satu ujian getir telah menimpa pasukan sukarelawan. Kami didatangi oleh tentera Israel Zionis dan dijadikan tawanan. Ketika itu hanya Allah Maha Mengetahui perasaan saya ketika itu. Dari segi emosi, fizikal dan psikologi kami diuji ketika dalam tahanan tentera Israel ini. Masih terbayang dibenak fikiran saya apabila situasi kami dikepung dan dijadikan tawaran dalam usaha kami membantu rakyat di Gaza. Rasa luluh hati dengan kejadian yang berlaku kerana usaha kami untuk menyampaikan hasrat seluruh rakyat Malaysia agar bekalan yang disumbangkan sampai ke destinasi. Perbagai andaian yang timbul terhadap perilaku yang ditunjukkan oleh tentera Israel seolah-olah kami yang ingin menyampaikan bantuan dikatakan bersalah. Sememangnya sikap tentera Israel ini dikeji kerana mengancam orang lain yang tidak mempunyai senjata untuk melawan. Tingkahlaku tentera Zionis yang kasar dan tidak berperikemanusiaan menyebabkan perasaan benci terhadap mereka. Kami dikurung di dalam bilik kecil di dalam kapal Rachel Corrie. Tiada langsung perasaan simpati dalam diri tentera zionis tersebut.

Saya dan para sukarelawan telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod, di situ saya melihat tingkahlaku tentera Israel ini berubah sama sekali. Hal ini mungkin terdapat kelompok media antarabangsa yang menunggu di pelabuhan tersebut. Seolah-olah mereka ingin menunjukkan bahawa Israel melayan dengan baik terhadap sukarelawan yang ditawan sedangkan realitinya adalah sebaliknya seperti yang berlaku kepada anak kapal Mavi Marmara. Kami dibawa ke sana untuk disoal siasat secara kasar oleh tentera zionis dan dipaksa mengakui kesalahan yang tidak kami lakukan. Keengganan saya, Shamsul Akmar, Ahmad Faizal, Halim, Jufri dan Matthias Chang untuk tidak menandatangani dokumen yang dilemparkan oleh tentera zionis menyebabkan mereka semakin marah lantas kami telah dibawah ke Penjara Be’er Sheva. Saya dan para sukarelawan bersyukur kerana doa daripada rakyat Malaysia dan usaha yang berterusan oleh Kerajaan Malaysia melalui kedutaan Thailand untuk membebaskan kami telah mencapai kata persetujuan.

Konklusinya, dalam usaha memerangi keganasan antarabangsa Pihak Kerajaan Malaysia dan negara lain mengutuk dengan keras tindakan Israel atas pencerobohan dan tindakan mereka kepada rakyat di Gaza. Begitu juga dengan solidariti yang terbina perlu kita jagai dan nilai-nilai sukarelawan yang ada pada diri perlu kita teruskan. Intipatinya, sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah bersyukur dan berusaha untuk mengekalkan perpaduan yang telah lama terbina ini. Keharmonian yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa perlu kita jagai. Di samping itu, kita perlu menggalakan agar rakyat kita semua mementingkan ilmu pengetahuan dan memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada kerajaan Malaysia dalam proses menjaga kedaulatan negara yang tercinta ini. Sesungguhnya kedamaian yang kita kecapi ini bukanlah satu perkara yang mudah dan sangat penting untuk kita bersatu hati menjaga perpaduan yang terbina ini.