“Kami bergerak sederap,” kata penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Maksud bergerak sederap itu adalah kempen secara bersama dengan calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan Belanja, Khairudin Abu Hanipah dikenali sebagai Cikgu Din.

“Soal ini penting bagi menunjukkan kerjasama satu pasukan dan keakraban kami bertiga adalah menyakinkan pengundi di Bota, Belanja dan seluruh Parit.

“Ia tidak jadi penghalang kerana saya akan berkempen secara berjemaah dengan kedua-dua mereka (calon DUN Bota dan DUN Belanja) seberapa banyak yang boleh.

“Apabila ada suasana harmoni antara calon, maka saya di peringkat Parlimen dan Shahril (Bota) serta Cikgu Din (Belanja) kena berjalan seiring.

“Barulah pembangkang rasa gerun apatah lagi cerita deme (pembangkang) yang suka berputar-belit di Parit ini,” kata Mohd Nizar lagi.

Gerak kerja kempen PRU-15 terus disusun menerusi aktiviti yang telah diaturkan.

Mohd Nizar sempat singgah di majlis ramah mesra dan sembang santai Di Lambor Kiri, di samping majlis santai bersama calon DUN Bota dan masyarakat Di Titi Gantung, Bota.

Seterusnya, calon Parlimen Parit meninjau dan beramah-mesra bersama masyarakat di gerai Pokok Nangka Titi Gantung, Bilik Gerakan Kampung Sungai Korok dan ceramah penerangan PRU 15 Di Bilik Gerakan Kampung Nyior Tanjung Belanja.

Mohd Nizar juga berkata peranan BN adalah penting untuk menjadi parti yang dominan dalam kerajaan.

“Ini bagi memastikan kerajaan baharu yang akan datang ini berfungsi dengan cemerlang.

“Peranan BN sangat penting dalam menjamin kestabilan politik dan kerajaan demi kemakmuran rakyat dan ekonomi,” katanya.

Malahan menurut Mohd Nizar, kemenangan mutlak 3-0 yang diyakini pengundi di sini sangat dituntut sebagai sumbangan besar membentuk kerajaan negeri baharu dan kerajaan Persekutuan selepas 19 November depan. – BACALAHMALAYSIA.MY