Berkempen secara unik, itulah cara sempoi penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Parit (P.069), Datuk Mohd Nizar Zakaria serta penyandang dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota (N.40), Khairul Shahril Mohamed menyantuni anak muda dengan bermain gendang dan gong di Titi Gantung, Bota.
Aktiviti secara bersantai ini turut diraikan anak-anak
muda dengan bermain alat muzik tradisional yang lain seperti serunai, gendang ibu, gendang anak dan tamburin.
Sesibuk mana pun dua calon BN berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun tetap tidak dilupakan bagi mereka meluangkan masa bersama-sama anak muda ini.
“Inilah cara untuk kita dekati golongan anak muda menerusi muzik tradisional. Anak muda perlu diberikan sokongan dan dokongan.
“Mereka (anak muda) ini perlu diambil tahu dan sentiasa bersama mereka. Barulah ukhuwah itu semakin rapat dan disatukan menerusi muzik,” kata Mohd Nizar.
Turut bersetuju, Khairul Shahril yang dilihat tidak kekok sambil memukul gong mengikut tempo dengan lagu yang dimainkan.
“Saya sangat gembira apabila anak-anak muda ini menunjukkan minat yang sangat mendalam permainan muzik tradisional yang kini semakin tenggelam ditelan zaman.
“Moga kesungguhan anak-anak muda ini akan terus memperjuangkan alat muzik ini yang bukan sahaja berkisarkan di negeri Perak sahaja tetapi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Pada malam itu, calon BN DUN Bota turut mencuba dan belajar meniup serunai sambil gendang anak dipalu Mohd Nizar secara spontan mengikut irama lagu yang dimainkan pada ketika malam dingin dan renyai-renyai. – BACALAHMALAYSIA.MY