Tuntas dan cakna !

Calon Barisan Nasional (BN) Kerusi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah terus tuntas dan cakna membantu sehabis baik lebih 50 keluarga terdiri kira-kira 160 mangsa banjir di daerah Perak Tengah ini.

Di daerah Perak Tengah,  dua pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga, Parit membabitkan 87 mangsa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang Kiri membabitkan 74 mangsa.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak berkata, Perak Tengah mencatatkan angka mangsa paling ramai iaitu 161 mangsa daripada 56 keluarga.

Katanya, angka terbesar seterusnya dicatatkan di daerah Hilir Perak membabitkan pembukaan dua PPS yang menempatkan 96 mangsa.

Bilangan mangsa banjir di Perak mencatatkan peningkatan setakat jam 4 petang tadi (15 November 2022) apabila seramai 351 mangsa daripada 109 keluarga terjejas membabitkan lima daerah iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS), Hilir Perak, Kerian, Manjung dan Perak Tengah.

Suasana agak pilu seketika apabila seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Mikhail terus memeluk manja calon BN Parlimen Parit yang juga dikenali sebagai Ustaz Nizar di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga,.

“Tok…tok…tok datang yerr.

“Rumah Tok (Datuk Mohd Nizar) tak banjir ke,” sayu kata-kata anak kecil ini sambil memeluk calon BN Parlimen Parit.

“Deme (Mikhail) kena kuat yerr. Kena semangat dan sabar,” pesan ringkas Mohd Nizar.

Suasana yang menyentuh hati nurani itu diteruskan dan cakna bersama beberapa mangsa keluarga banjir yang berada dan ditempat di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga.

Bertanya khabar dan mengambil berat setiap mangsa keluarga itu terus diberikan kata-kata perangsang dan nasihat supaya bersabar dan bertabah dengan ujian Allah SWT di samping bantuan sedia ada telah diuruskan pasukan petugas khas daripada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Mohd Nizar turut berkata, banjir yang berlaku kali ini agak luar biasa disebabkan aliran Sungai Riam yang deras (kawasan bukit) dan taburan hujan yang tinggi serentak, berlaku kenaikan air yang menyebabkan banjir.

“Itu (banjir) yang naik cepat namun air bah ini juga surut cepat kerana kunci air yang berada berdekatan cukup membantu mengatasi masalah banjir sebegini.

“Malahan usaha bagi mencegah berlakunya banjir telah dilaksanakan sebelum ini.

“Secara umumnya kita sudah mengusahakan dari segi infrastruktur seperti tebatan banjir dan pemasangan kelubung air yang lebih besar di jalan. Contohnya di Kampung Raja, Kampung Buluh Akar dan Parit 6, isu banjir sudah selesai.

“Namun, oleh sebab aliran Sungai Riam yang deras (kawasan bukit) dan taburan hujan yang tinggi serentak, berlaku kenaikan air yang menyebabkan banjir.

“Kita akan gandakan lagi infrastruktur dengan usaha bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan komuniti supaya masalah banjir ini dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, calon BN DUN Belanja, dikenali Cikgu Din terus cakna melawat kawasan yang terjejas akibat banjir.

Cikgu Din juga membuat lawatan ke PPS iaitu SK Simpang Tiga yang melibatkan 44 rumah di Kampung Buluh Akar dan 20 rumah di Kampung Serapoh serta PPS kedua di SMK Layang-Layang Kiri yang melibatkan 16 rumah.- BACALAHMALAYSIA.MY/HARIAN METRO ONLINE.