MIRI- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak meneruskan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WcaRe) bagi mengesan awal kanser reproduktif sempena program Jelajah KASIH Keluarga Malaysia di sini.

Pengerusi LPPKN, Dato’Mohd Nizar berkata kempen tersebut merupakan inisiatif di bawah Program Subsidi Ujian Mamogram dan Program Subsidi Ujian Mamogram dan Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) Yang ditawarkan kepada wanita seluruh negara untuk menggalakkan mereka menjalani ujian pengesahan awal kanser payudara dan kanser serviks.

“Kita mensasarkan seramai 5,500 orang wanita di sarawak yang akan mendapat manfaat daripada Program Subsidi Mamogram manakala bagi 5,000 orang wanita bagi Program Saringan Kanser Serviks secara percuma.

“Kempen WCaRe menunjukkan komitmen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN sebagai usaha untuk menambah pengetahuan dan meningkat kesedaran mengenai kanser reproduktif kaum wanita.” katanya semasa berucap dalam kempen WCaRE Sempena Program Jelajah KASIH Malaysia di Balai Raya Kampung Masjid Kuala Baram, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukor dan Pengarah LPPKN Negeri Sarawak, Shahriah Saharom.

Menurut beliau, LPPKN turut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada peserta wanita dari Kampung Masjid Kuala Baram Ke Columbia Asia Hospital Miri untuk menjalani ujian HPV DNA dan Mamogram bagi menggalakkan wanita hadir semasa kempen tersebut.

Sebanyak 50 baucer saringan percuma HPV DNA dan Mamogram telah diserahkan kepada Jawatankuasa Wanita Kampun Masjid Kuala Baram dan Persatuan Sokongan Kanser Payudara Miri (PERSOPAM) untuk dimanfaatkan golongan wanita setempat.

Beliau turut menyeru golongan wanita untuk merebut peluang bagi menjalani Saringan HPV DNA dan Mamogram supaya penyakit tersebut dapat dicegah lebih awal.

Selain menerusi perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak, wanita yang ingin menjalani pemeriksaan boleh berkunjung ke Klinik Nur Sejahtera LPPKN Negeri Sarawak di Kuching, Sibu dan Miri.