KUALA LUMPUR: Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia yang kini melebihi 200,000 orang menyebabkan negara tidak lagi mampu menampung kehadiran lebih ramai pelarian berkenaan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Kamarudin Jaffar, berkata ini juga berikutan kegagalan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967, berkongsi beban dan tanggungjawab untuk menerima atau penempatan semula pelarian berkenaan

Katanya, sepanjang 18 tahun lalu, iaitu antara 2003 hingga 2021, hanya 8,312 pelarian Rohingya di negara ini ditempatkan di 10 negara lain.

“Paling ramai pelarian Rohingya dihantar ke Amerika Syarikat, iaitu kira-kira 7,000 orang dan paling sedikit di Finland, iaitu hanya seorang,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) dan Dato’ Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kamarudin berkata, isu Rohingya turut dibangkitkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Hishammuddin Hussein, ketika mesyuarat-mesyuarat ASEAN berkaitan, termasuk ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 antara 26 hingga 28 Oktober lalu.

Katanya, Malaysia tegas menggesa Myanmar melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh ASEAN-Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) dan melaksanakan Penilaian Keperluan Komprehensif (CNA).

Menurutnya, ini untuk memastikan proses repatriasi pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bermaruah serta mengurangkan jumlah pelarian yang membuat perjalanan lanjutan ke Malaysia.

“Isu penempatan pelarian Rohingya ke negara ketiga, sering diketengahkan oleh kerajaan dalam perbincangan dengan negara asing dan platform antarabangsa.

“Malaysia sentiasa menggesa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarían (UNHCR) bekerjasama untuk mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Mengulas taraf kewarganegaraan Rohingya, katanya kerajaan Myanmar pada 1982 telah meluluskan Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 yang mengecualikan etnik Rohingya daripada senarai etnik bertaraf warga Myanmar.

Sehubungan itu, katanya Malaysia akan terus memastikan bahawa penyelesaian isu Rohingya meliputi pengiktirafan mereka sebagai warga negara itu.

“Malaysia sentiasa menyokong usaha-usaha antarabangsa bagi memastikan kebertanggungjawaban ke atas pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah kemanusiaan yang berlaku ke atas etnik Rohingya.

“Sebagai contoh, Malaysia menyokong resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MHAM PBB) yang menubuhkan satu mekanisme yang dinamakan Independent Investigative Mechanism for Myanmar (IIMM) bagi mengumpul bukti pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/21