PARIT – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan melengkapkan dos vaksin Covid-19 dengan segera kepada pelajar sekolah.

Pengerusi LPPKN, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, langkah itu selaras dengan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka yang akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober.

Menurutnya, tidak menjadi halangan buat LPPKN membantu memandangkan mempunyai tenaga pakar dan kemudahan bas yang boleh dijadikan klinik bergerak bagi pelaksanaan program outreach vaksinasi di seluruh negara.

“Sekarang ini pun kita telah bersama-sama kerajaan dalam program pemberian vaksin dan setakat ini, jumlah penerima vaksin di bawah program dikendalikan LPPKN mencecah 25,000 orang di seluruh negara.

“Sekiranya KKM berpendapat perlu ada gerakan-gerakan tertentu khusus untuk golongan remaja bawah 18 tahun yang telah diluluskan menerima vaksin, maka sudah tentu kita sedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Belanja Outreach Vaksin Covid-19 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit membabitkan 538 penerima di sini pada Sabtu.