Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyambut baik agenda Keluarga dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) oleh YAB Perdana Menteri, kelmarin.

LPPKN, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk memantapkan institusi keluarga dan perkahwinan di Malaysia dalam membentuk keluarga yang sejahtera.

Pengumuman YAB PM terhadap penubuhan Pusat Kecemerlangan Subfertiliti LPPKN, dilihat sebagai perkara yang melegakan bagi pasangan yang sukar mendapat zuriat kerana mereka akan terus dibantu dengan perkhidmatan subfertiliti berkualiti pada kos yang kurang membebankan.

Pasangan juga bakal mendapat akses kepada perkhidmatan kesejahteraan keluarga yang lebih menyeluruh meliputi penjagaan selepas bersalin, kaunseling keluarga dan kemahiran keibubapaan menerusi pusat ini kelak.

Selain itu, program pendidikan pra perkahwinan dan kemahiran keibubapaan akan dirangka semula bagi memanfaatkan platform digital agar lebih relevan kepada isu dan cabaran semasa.

Sebagai membudayakan norma baharu, LPPKN telah menjalankan program Pembangunan Keluarga seperti Keluarga@Kerja, SMARTbelanja@LPPKN dan IlmuKeluarga@LPPKN secara dalam talian mulai akhir tahun 2020.

Pada masa sama, bagi mengurangkan masalah kesihatan mental dan tekanan kalangan ahli Keluarga, perluasan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan menggunakan kaedah e-kaunseling dan tele kaunseling turut diperkenalkan.

Talian khas kaunseling iaitu Toll Free Helpline Family Care 1-800-82-0300 telah mula digerakkan pada pertengahan September 2021.

Di samping itu, perkhidmatan kaunseling remaja turut dijalankan secara hybrid dan aplikasi interaktif myKafeTEEN dan berjaya menarik sejumlah 1,837 orang klien remaja sepanjang pandemik COVID-19.

Saya yakin kolaberasi strategik seluruh agensi KPWKM termasuk LPPKN bersama-sama Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan terus diperkukuhkan secara tuntas bagi menyokong kesejahteraan Keluarga Malaysia seperti disarankan oleh YAB PM.

DATO’ MOHD NIZAR HAJI ZAKARIA

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

28 September 2021