BOTA: Kerajaan digesa memperketatkan undang-undang dan hukuman lebih berat terhadap pesalah pedofilia bagi membendung jenayah seksual sekali gus melindungi hak asasi kanak-kanak.

Presiden Pertubuhan Bahu Yang Membantu (Helping Shoulder), Lilaruzaini Mohd Hussain, berkata bagi membendung jenayah itu tindakan lebih tegas perlu dilakukan supaya ia tidak terus berlaku dalam masyarakat.

Katanya, pendidikan mengenai perkara itu juga perlu diketengahkan dalam silibus pembelajaran awal pendidikan supaya kanak-kanak juga lebih peka dengan situasi itu.

“Jenayah pedofilia masih kurang diberi perhatian sesetengah pihak. Kalau kita lihat di luar negara mereka amat mengambil perhatian mengenai akta dan hukuman yang ada.

“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian dan kita mahu ia diperangi secara konsisten dengan akta dan hukuman lebih berat kepada pelaku.

“Kami juga berbesar hati jika dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memerangi jenayah seksual kanak-kanak,” katanya selepas

Majlis Pelancaran Pertubuhan Bahu Yang Membantu (Helping Shoulder) Cawangan Perak dan forum perangi pedofilia oleh Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi, di Dewan Dato’ Ahamed Hambal, Bota Kanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria; Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Sharil Mohamed.

Lilaruzaini berkata, beberapa negara Asia seperti Indonesia menjalankan hukuman khusus kepada pesalah pedofilia dengan mengenakan hukuman chemical casrtration.

“Ada yang mengenakan ‘chemical castration’ iaitu suntikan kepada pesalah yang dapat memperlahankan imaginasi kerana selepas dibebaskan mereka masih ada nafsu dan fantasi.

“Hukuman itu boleh dijadikan cadangan selain memantau pergerakan dan menjarakkan pelaku dengan kanak-kanak.

“Bagaimanapun ia masih dalam penyelidikan dan belum dibawa kepada pihak berkaitan,” katanya.

Mohd Nizar berkata, LPPKN juga sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat kepada mana-mana pihak sekiranya tingkah laku anak mereka boleh membawa kepada jenayah seksual itu.

“LPPKN sentiasa membantu dalam usaha mencegah jenayah pedofilia dengan menyediakan kaunseling bukan hanya untuk golongan ibu bapa, malah untuk kanak-kanak.

“Pada masa sama, masyarakat dan ibu bapa juga perlu peka dengan persekitaran dan peranan mereka dalam bagaimana anak boleh terjerumus dalam jenayah itu terutama dalam arus teknologi yang semakin mencabar ini,” katanya.