MOHD Nizar menziarahi mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga yang baru dibuka pagi tadi. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
MOHD Nizar menziarahi mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga yang baru dibuka pagi tadi. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.

Parit: “Semuanya habis, tiada barang lagi dalam rumah saya yang tinggal,” kata Endon Saidin, salah seorang mangsa banjir di Kampung Serapoh di sini, pagi tadi.

Endon, 64, seorang ibu tunggal tidak mampu berjalan dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak sejak dua tahun lalu itu berkata rumahnya dimasuki air dan memaksanya berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PSS) di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga di sini.

Menurutnya, kali terakhir kawasan kampungnya dilanda banjir adalah pada 2017 lalu dan beberapa hari lalu dia mendengar jiran berkata kampung akan berlaku banjir jika hujan lebat.

“Tapi sebab sudah lama tidak banjir, saya abaikan. Namun jam 5 pagi tadi air mula masuk dalam rumah. Anak saya yang tinggal di Titi Gantung bantu saya berpindah ke PPS.

“Almari, sofa, kereta, semuanya habis tenggelam,” katanya.

Katanya, paras air banjir di dalam rumahnya sudah mencapai hampir satu meter ketika anaknya, Muhamad Khairil Mad Latip, 33, pulang mengambil pakaian untuk dibawa ke PPS.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata usaha bagi mencegah berlakunya banjir telah dilaksanakan sebelum ini.

“Secara umumnya kita sudah mengusahakan dari segi infrastruktur seperti tebatan banjir dan pemasangan kelubung air yang lebih besar di jalan. Contohnya di Kampung Raja, Kampung Buluh Akar dan Parit 6, isu banjir sudah selesai.

“Namun, oleh sebab aliran Sungai Riam yang deras (kawasan bukit) dan taburan hujan yang tinggi serentak, berlaku kenaikan air yang menyebabkan banjir.

“Kita akan gandakan lagi infrastruktur dengan usaha bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan komuniti supaya masalah banjir ini dapat diselesaikan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga, hari ini.