KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ahli Parlimen Parit, Datuk Nizar Zakaria berkata Muafakat Nasional (MN) merupakan satu gagasan yang cukup besar berasaskan kepada piagam dan telah termeterai pada 14 September lalu.

Jelas beliau, terdapat segelintir pihak yang cuba hendak melaga-lagakan MN kerana merasakan cemburu dan iri hati ke atas prestasi yang dimiliki oleh MN.

“Jangan sesekali cuba untuk melagakan antara dua parti yang besar ini dalam konteks ‘gabung jalin’ walaupun dalam konteks semasa hari ini iaitu gabungan kongsi kuasa Perikatan Nasional (PN). Ianya juga ada nilai-nilai signifikan tersendiri dan kita melihat MN merupakan teras dalam bentuk kerjasama yang cukup erat ini.

“Jadi… saya cukup yakin dan percaya walau apa jua gelombang yang akan diterima kepimpinan UMNO dan PAS akan kuat, kukuh, jitu dan berikanlah keyakinan kepada rakyat kerana masyarakat hari ini amat melihat bagaimana bentuk kerjasama MN.

“Saya minta supaya kedua-dua parti ini mempunyai kejujuran, menepati janji, keikhlasan untuk memastikan nilai-nilai solidariti dan keukwahaan serta juga memperhalusi segenap perjalanan parti. Apabila kita kuat orang sudah pasti akan memberikan keyakinan. Insya Allah…parti-parti lain sebenarnya mereka akan berpaut kepada MN.” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Justeru itu, kata Nizar lagi, PAS dan UMNO sebenarnya merupakan gagasan yang cukup baik khususnya untuk orang Melayu dan juga bangsa-bangsa yang lain.

“Alhamdulillah…atas dasar dan hikmah ini UMNO dan PAS dapat menghubungjalinkan dalam konteks MN. Ini merupakan nikmat yang perlu untuk umat Islam tanpa kita meminggirkan bangsa dan agama yang lain,” ujarnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan