oleh SAIFULLAH AHMAD19 Mac 2023 03:54pm

IPOH – Hampir semua Ketua UMNO Bahagian di Perak mengekalkan jawatan masing-masing pada pemilihan UMNO kali ini.

Daripada 24 bahagian, 12 penyandang Ketua UMNO Bahagian yang bertanding berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.

Antara mereka yang kekal termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahrudin di Tapah; ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (Sungai Siput); Datuk Sham Mat Sahat (Bagan Serai), Datuk Hang Tuah Din (Gopeng) dan Datuk Dr Azhar Ahmad (Beruas).

Hanya Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar gagal mempertahankan jawatan apabila Datuk Abu Bakar Mat Ali tewas kepada Mohd Jamil Jahaya.

Tujuh bahagian pula menang tanpa bertanding melibatkan Bagan Datuk yang disandang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Lenggong yang diketuai Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad; Lumut (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir), Ipoh Barat (Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar), Ipoh Timur (Datuk Azian Osman), Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) dan Batu Gajah (Datuk Mohd Yusoff Kassim).

Sementara itu, empat bahagian pula mendapat ketua baharu melibatkan Pasir Salak yang dimenangi Khairul Azwan Harun, Bukit Gantang (Mohammad Sollehin Mohamad Tajie), Parit Buntar (Mohd Jamil) dan Larut (Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff).

Pada pemilihan kali ini dua calon wanita yang bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian gagal menyerlah iaitu bekas Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar) dan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai, Zarina Abdol Majid (Bagan Serai).

Dua bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian pula menerima nasib berbeza apabila Mohammad Sollehin yang pernah memimpin Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang memenangi jawatan Ketua UMNO bahagian berkenaan namun, bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Faridzul Azlan Abd Shani tidak berjaya memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tambun menerusi pertembungan dua penjuru.

Keputusan pemilihan Ketua UMNO Bahagian di Perak

Menang tanpa bertanding

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)

Datuk Seri Saarani Mohamad (Lenggong)

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Lumut)

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas)

Datuk Azian Osman (Ipoh Timur)

Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar (Ipoh Barat)

Datuk Mohd Yusoff Kassim (Batu Gajah)

Kekal

Datuk Aznel Ibrahim (Gerik)

Datuk Sham Mat Sahat (Bagan Serai)

Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie (Taiping)

Datuk Mohd Zolkafly Harun (Sungai Siput)

Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Tambun)

Datuk Maslin Sham Razman (Kuala Kangsar)

Datuk Dr Azhar Ahmad (Beruas)

Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit)

Datuk Abd Rahman Md Som (Kampar)

Datuk Hang Tuah Din (Gopeng)

Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (Teluk Intan)

Ishsam Shahruddin (Tapah)

Mohd Zaidi Aziz (Tanjung Malim)

Muka baharu

Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff (Larut)

Mohd Jamil Jahaya (Parit Buntar)

Mohammad Sollehin Mohamad Tajie (Bukit Gantang)

Khairul Azwan Harun (Pasir Salak)