PARIT: Prihatin dengan nasib kanak-kanak sebaya di Palestin, dua beradik di sini mengambil inisiatif menyerahkan wang tabung mereka berjumlah RM160 yang dikumpul kepada Muslim Care Malaysia untuk disumbangkan kepada tabung Palestin. 

Muhammad Hakeem Mohd. Hafizan, 9, berkata, wang syiling berkenaan merupakan simpanan lebihan belanja sekolah dia dan adiknya Muhammad Harith, 7, yang diberikan bapa mereka sejak awal tahun lepas. 

“Pada mulanya duit ini kami simpan untuk beli telefon bimbit tetapi selepas tengok berita di televisyen dan ada kanak-kanak  cedera, kami rasa sedih.

“Saya bertanya kepada ayah apa yang berlaku dan bapa beritahu apa yang berlaku terhadap anak-kanak di Palestin yang sedang perang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang syiling di Puncak Iskandar, di sini hari ini. 

Turut hadir Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria yang menganjurkan kutipan tabung Palestin bagi Parlimen Parit dan Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd. Johari Ismail. 

Ditanya sama ada dia berasa sedih kerana tidak dapat membeli telefon bimbit, Muhammad Hakeem berkata, dia seronok kerana dapat membantu kanak-kanak Palestin yang lain. 

“Tidak, saya tak sedih sebab saya dapat pahala bantu mereka. Adik saya pun tak sedih malah kami seronok dapat buat pahala dan tolong mereka,” katanya. 

Sementara itu, sebanyak RM20,736 disumbangkan oleh penduduk Desa Seri Bayu bersama guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar Perdana, Seri Iskandar kepada Muslim Care Malaysia pada program sama. 

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Seri Bayu, Ahmad Fadzil Ariff yang juga Pengetua SK Iskandar Perdana berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan yang diterima begitu luar biasa sehingga berjaya mengumpul lebih RM20,000 bagi membantu rakyat Palestin. 

“Kutipan ini kami jalankan selama empat hari bermula Isnin sehingga semalam.  Namun sampai hari ini ada yang menghubungi kami untuk memberi sumbangan dan ia menunjukkan masyarakat begitu prihatin dengan nasib menimpa masyarakat Palestin,” katanya.

Pada program tersebut sebanyak RM44,345 berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Muslim Care Malaysia untuk disumbangkan kepada tabung Palestin yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan berkenaan. – UTUSAN ONLINE