Saya tak sokong Anwar – Mohd Nizar

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, menafikan sekeras-kerasnya beliau ada menandatangani akaun bersumpah (SD) bagi menyokong ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, setia dengan parti dan akan terus berpegang teguh kepada pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terbabit dalam polemik ini. Sesungguhnya saya tidak pernah menandatangani sebarang SD bagi menyokong Anwar Ibrahim.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen UMNO, saya sentiasa berpegang kepada prinsip serta sentiasa akur kepada segala arahan dan keputusan yang sudah dibuat oleh UMNO,” katanya.

Mohd Nizar antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang didakwa menandatangani SD menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

UMNO sebelum ini memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP serta terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

MP Parit nafi tandatangan SD sokong Anwar

Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria menafikan beliau antara 10 wakil rakyat Umno yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Nizar, yang Ketua Umno Bahagian Parit, menegaskan, walau apapun keadaan beliau akan tetap setia dengan parti serta Barisan Nasional (BN) dan menafikan terlibat dalam polemik itu.

“Saya tidak pernah menandatangani sebarang SD menyokong Anwar. Sampai bila-bila saya tidak akan berpaling daripada Umno dan BN, sentiasa berpegang kepada prinsip serta akur segala arahan dan keputusan Umno,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Ipoh, hari ini.

Nizar mengulas laporan sebuah portal berita kelmarin yang menyebut beliau antara 10 Ahli Parlimen Umno termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyokong Anwar sebagai perdana menteri dengan menandatangani SD.

Semalam, Ahli Parlimen Kimanis Mohamad Alamin turut menafikan beliau menandatangani SD itu.

Bernama

Nafi Sekeras-kerasnya Tandangan SD, Teguh Kepada Pendirian UMNO/BN – Nizar

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau adalah antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang telah membuat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tegasnya, beliau tidak pernah menandatangani sebarang akuan bersumpah dan tetap teguh kepada pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terlibat dalam polemik ini. sesungguhnya saya tidak pernah menandatangani sebarang SD bagi menyokong Anwar Ibrahim. Sebagai seorang Ahli Parlimen UMNO, saya sentiasa berpegang kepada prinsip serta sentiasa akur kepada segala arahan dan keputusan yang telah dibuat oleh parti UMNO.

“Dari dahulu hingga sekarang, saya tetap setia kepada parti serta akan terus berpegang teguh kepada pendirian UMNO dan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan, terdahulu tular dakwaan Anwar mewakili Pakatan Harapan telah memperoleh sokongan 10 Ahli Parlimen UMNO dan akan mempersembahkan SD sokongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

10 Ahli Parlimen UMNO tersebut termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar melalui SD yang telah ditandatangani.

Selain Nizar, turut disenarai dalam 10 ahli Parlimen UMNO ini ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Selain itu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin turut tersenarai. – UMNO Online

Data Tanah Rizab Melayu Hak Eksklusif Kerajaan Negeri

10 DIS: Semua maklumat terperinci mengenai keluasan tanah rizab Melayu bagi negeri di Semenanjung adalah data eksklusif pihak berkuasa negeri masing-masing.

Berikutan itu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju, mencadangkan semua Ahli Parlimen membangkitkan isu berkenaan tanah rizab Melayu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi wakil rakyat masing-masing.

“Semua maklumat terperinci mengenai tanah rizab Melayu bagi negeri di Semenanjung adalah data eksklusif pihak berkuasa negeri masing-masing

“Adalah lebih sesuai YB membangkitkan perkara ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan kecuali di Pulau Pinang dan Melaka kerana kedua-dua negeri berkenaan tidak mempunyai tanah rizab Melayu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ALI BIJU

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang terdapat di seluruh negara dan bentuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyemak semula pengurusan dan pembangunannya.

Mengulas lanjut, Ali berkata, isu berkaitan tanah rizab melayu dibincangkan secara bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkenaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Tanah Rizab Melayu Semenanjung Malaysia yang diurusetiakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA).

Beliau berkata tindakan itu selari dengan Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelupusan dan pengurusan tanah rizab Melayu, Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah rizab Melayu adalah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

“Tindakan pewartaan dan pembatalan sesuatu status tanah rizab Melayu oleh pihak berkuasa negeri perlulah selaras dengan Enakmen Tanah Rizab di negeri masing-masing.

“Mengikut Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan menggariskan setiap tanah rizab Melayu yang dibatalkan perlu diganti tanah mempunyai keluasan dan keadaan yang sama.

“Kementerian berpegang kepada semua prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan tanah rizab Melayu dan berharap pihak berkuasa negeri juga mengikuti peraturan disediakan berdasarkan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

DesaMall@KPLB Promosi Produk Usahawan Desa

7 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sentiasa membantu usahawan dari kawasan luar bandar meningkatkan pemasaran dan jualan produk keluaran mereka menerusi beberapa program dengan menggunakan pelbagai medium.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, antara usaha berterusan dilakukan KPLB termasuklah dengan menggalakkan usahawan luar bandar mempromosi, memasarkan produk keluaran mereka secara dalam talian atau online dengan perkongsian strategik melalui DesaMall@KPLB.

“Program ini membantu usahawan luar bandar meningkatkan jualan dan promosi produk keluaran mereka menerusi online menggunakan platform e-dagang termasuk Lazada, Shopee atau pun e-bay, playstore mall dan sebagainya.

“Malah, sehingga 30 September 2020 seramai 1,748 usahawan luar bandar telah dilatih dan 21,698 stock keeping unit (SKU) telah dimuat naik ke platform DesaMall@KPLB,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ABDUL RAHMAN MOHAMAD
ABDUL RAHMAN MOHAMAD

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh kementerian untuk menggiatkan lagi pemasaran produk-produk usahawan desa.

Mohd Nizar juga ingin tahu bagaimanakah KPLB akan memastikan usaha yang dilaksanakan akan menerima sambutan daripada pembeli dan pengguna seiring dengan keadaan ekonomi pada masa kini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata KPLB juga telah menganjurkan Karnival Usahawan Desa 2020 secara dalam talian (eKUD 2020) bertujuan mewujudkan kesedaran pembeli berkenaan produk usahawan luar bandar yang boleh dibeli secara dalam talian. – Oleh HAIKA KHAZI

Syarat ketat bagi pemilikan senjata api walau untuk jaga tanaman

Kuala Lumpur: Hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan sahaja akan diluluskan pemilikan lesen dan permit senjata api.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kelulusan senjata api sama ada pistol atau senapang patah secara beli baharu atau pindah milik dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana ia peralatan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbang setiap permohonan lesen atau permit senjata api.

“Bagi permohonan senjata api untuk tujuan membasmi musuh tanaman, pemohon hendaklah memenuhi antaranya melepasi tapisan keselamatan, memiliki tahap kesihatan yang baik, bergantung hidup kepada hasil pertanian dan mempunyai tanah pertanian sendiri.

“Selain itu, pemohon menetap di kawasan berkenaan dan mengalami kerosakan hasil tanaman yang serius,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. – Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) adakah kementerian akan memberikan sedikit kelonggaran syarat permohonan lesen senjata api kepada pemilik tanaman yang ingin memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman.

Katanya, bagi pemilik kebun yang tidak memiliki atau tidak dipertimbangkan lesen atau permit senjata api, sekiranya mereka mempunyai masalah ancaman musuh tanaman, pihaknya mencadangkan supaya mereka mendapatkan bantuan Jabatan Perhilitan atau anggota RELA setempat untuk membantu mengatasi masalah ancaman terbabit.

Permohonan lesen senjata api perlu jalani tapisan ketat

PETALING JAYA – Proses kelulusan permohonan lesen senjata api di Malaysia dilakukan secara berhati-hati dan ketat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia.

Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, setiap permohonan lesen sejata api diproses secara terperinci bagi memastikan ia tidak disalahgunakan kerana alat itu boleh mengancam nyawa.

Menurut beliau, hanya individu yang benar-benar memerlukan dan berkelayakan akan diluluskan permohonan pemilikan senjata api selepas melalui tapisan yang rapi oleh PDRM.

“Permohonan memiliki senjata api adalah tertakluk kepada Akta Senjata 1960. KDN dan PDRM mempunyai garis panduan yang komprehensif bagi menimbangkan setiap permohonan lesen atau permit.

“Kelulusan senjata api sama ada pistol atau senapang dan senapang patah, secara beli baru atau pindah milik dipertimbangkan dengan berhati-hati dan ketat kerana senjata api merupakan senjata yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) permohonan lesen senjata api oleh pemilik tanaman yang mahu memiliki lesen bagi menguruskan musuh tanaman seperti babi dan monyet.