Usah Tanam Ketakutan, Tapi Beri Harapan Dalam Berpolitik – Najib

PARIT: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa pemimpin UMNO perlu sentiasa memberikan harapan dan keyakinan bagi pembangunan rakyat, bukannya memainkan elemen ketakutan seperti yang dilakukan pembangkang.

Perdana Menteri itu berkata, permainan “politic of fear” hanya digunakan oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa dan bertujuan untuk menumbangkan pemimpin di tampuk pemerintahan.

Jelas beliau, permainan politik yang berasaskan elemen ketakutan hanya akan merosakkan dan menghancurkan harapan rakyat kepada negara.

“Kita akan merugikan rakyat, tiada masa hadapan dan apa yang berlaku adalah kita (rakyat) akan berkecamuk, bercelaru malah tak tentu hala serta tiada panduan.

“Tapi, UMNO terus akan memberikan pengharapan kepada rakyat kerana selama 60 tahun pemerintahan, kita telah membuktikan bahawa kita (UMNO) adalah parrti yang telah banyak berbudi dan berjasa malah membawa perubahan kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Dewan Iltizam, MRSM Parit di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, merangkap Pengerusi UMNO Negeri Perak dan barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ahli-ahli UMNO Bahagian Parit.

Beliau dalam pada itu juga menyokong ucapan Dr Zambry yang menyatakan bahawa terdapat dua dimensi politik di Malaysia iaitu “politic of fear” dan “politic of hope” dan rakyat sewajarnya meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada UMNO yang menerajui Malaysia selama ini.

Najib berkata, beliau tidak menafikan berlakunya perbezaan pendapat di kalangan UMNO, namun ia bukanlah menjadi punca utama untuk menghancurkan parti, malah harus setia untuk terus memberikan terbaik buat rakyat.

Jelasnya, pemimpin juga perlu memainkan peranan agar rakyat sentiasa memberikan kepercayaan kepada 109 bahagian UMNO di seluruh negara yang mempunyai rangka organisasi tersusun rapi selama ini.

Beliau berkata, peristiwa hitam di bawah tampuk pemerintahan pembangkang selama 11 bulan yang dialami oleh rakyat di Perak sewajarnya menjadi iktibar kepada masyarakat setempat.

“Kita mesti lakukan usaha mendekati pengundi, turun padang nampak muka jangan bila dah dekat…itu tidak boleh, nanti tukar. Selesaikan masalah rakyat baik besar dan kecil.

“Contohnya, projek MRT itu adalah sebagai permulaan, saya mempunyai falsafah dan teori ekonomi sebagai Perdana Menteri, walaupun sesetengah orang kata mengapa perlu laburkan peruntukan di Lembah Klang?

“Mereka tidak faham, apabila kita buat projek di Kuala Lumpur, ekonomi dan hasil negara bertambah dan inilah yang digunakan bagi peruntukan di luar bandar,” katanya lagi.

Beliau juga tegas menafikan kononnya Malaysia gagal di bawah pemerintahan UMNO sedangkan ia telah diiktiraf oleh majalah bertaraf dunia, malah akan membuka peluang kepada anak-anak muda baik dari dalam dan luar bandar untuk bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global kelak.

Siapa Kata Malaysia Gagal Dibawah UMNO?

PARIT:Ahli UMNO disaran supaya menolak fahaman bahawa negara kini berada dalam keadaan tidak diurus tadbir dengan baik oleh kepimpinan parti itu.

Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata fahaman sedemikian hanya akan mendorong kepada tindakan memusnahkan parti keramat itu.

“Jika sudah keluar dari UMNO tak perlu balik kepada UMNO kerana kita hendak orang yang setia pada UMNO sahaja sebab apa kita boleh berbeza pendapat kerana kita dalam keluarga UMNO memang ada perbezaan pendapat tapi jangan sesekali menghancurkan parti UMNO.

“Siapa kata Malaysia gagal dibawah UMNO? Kita bukan gagal, World Economic Forum telah menyenaraikan Malaysia antara 25 teratas negara yang berdaya saing di dunia.

“Pelbagai projek yang terbaru MRT contohnya adalah permulaan banyak lagi projek besar bakal menyusul.. saya buat projek besar untuk apa?

“Buat apa lambak projek di Lembah Klang bukan boleh menang, lebih baik lambak peruntukan di luar bandar tetapi mereka tidak faham iaitu kita buat projek di Kuala Lumpur ekonomi kita bertambah bila ekonomi bertambah hasil negara bertambah peruntukan digunakan untuk luar bandar,” katanya.

Beliau terdahulu menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit 2017 di Dewan Iltizam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan Naib Ketua UMNO Bahagian merangkap ADUN Blanja, Datuk Nizar Zakaria.

Jelasnya lagi, hanya parti UMNO sahaja yang mampu membela masa depan rakyat dan negara.

“Kita tak nak jadi juara kampung kita nak jadi juara di seluruh dunia.. jangan kita gunakan Politics of fear,” katanya.

Perkhidmatan, Infrastruktur Mahkamah Syariah Perlu Seimbang

SERI ISKANDAR: Kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di mahkamah syariah negeri Perak harus seimbang dengan pembangunan infrastruktur yang disediakan, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Kerajaan Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Beliau berkata, dalam hal itu, pendekatan baru dalam membantu penyelesaian kes di mahkamah itu perlu dikemukakan bagi membantu semua pihak yang terlibat mendapatkan perkhidmatan dengan sempurna.

Katanya, merujuk kepada pencapaian tahun 2016, sebanyak 11,325 kes telah didaftarkan di seluruh Mahkamah Syariah negeri Perak yang melibatkan kes Mal, Jenayah dan juga faraid.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 8198 kes berjaya diselesaikan dengan peratus pencapaian sebanyak 72%.

“Manakala jumlah kes tertunggak dari tahun 2015 dan tahun sebelumnya berjaya diturunkan daripada jumlah 3,645 kes kepada 1,077 kes sahaja,” katanya ketika berucap pada perasmian Mahkamah Syariah Seri Iskandar di sini, hari ini.

Majlis perasmian mahkamah itu disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut Mohd Nizar, dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, Jabatan Kehakiman Syariah telah menaiktaraf sistem pengurusan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurusan kes dan kewangan berasaskan standard ISO 9001.

Katanya, pada tahun 2016, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak menjadi Jabatan Kehakiman Syariah yang pertama memperolehi pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 yang menekankan kepada pengurusan berkualiti daripada perspektif Syariah.

“Menyentuh mengenai pembangunan kompetensi bagi memberikan perkhidmatan secara profesional, Hakim-Hakim Syarie perlu mempunyai daya kreativiti dan bersifat dinamik dalam memberikan penghakiman,” ujarnya.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan mengemukakan pandangan-pandangan semasa melalui penghakiman yang disampaikan yang boleh dikembangkan sebagai cabang ilmu dan pengetahuan.

Katanya, tradisi dan budaya masyarakat sentiasa berubah dan hukum juga perlu melihat perubahan-perubahan sosial masyarakat yang berlaku bagi menunjukkan sifat hukum Islam yang universal, seimbang (tawazun) dan sederhana (wasatiyyah).

“Meneliti contoh yang menarik, Ayahanda Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pernah memberikan penghakiman bersejarah dalam kes Roberts lwn Umi Kalsom berkaitan kedudukan harta sepencarian.

“Penghakiman Al-Marhum dalam kes ini merupakan satu permulaan berkaitan undang-undang harta sepencarian moden yang kemudiannya diterima di Mahkamah Syariah dan dikembangkan sebagai hukum Syarak yang mengiktirafnya sebagai ‘al-adah muhakkamah’ (adat menjadi hukum),” katanya.

Oleh itu, katanya, perkembangan hukum seperti itulah yang boleh menjadi panduan kepada masyarakat dengan mengambil kira latarbelakang sosial, adat dan budaya yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.

334 Keluarga Orang Asli Terima Bantuan Makanan JAIPk

SLIM RIVER: Seramai 334 ketua isi rumah di tiga buah Kampung Orang Asli (KOA) menerima bantuan kotak makanan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kampung-kampung yang terlibat ialah KOA Chenggong di dalam kawasam Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang; KOA Changkat Ramu (DUN Slim) dan KOA Menderang 1 & 2 (DUN Sungkai).

Menurut beliau, Program Ziarah Mahabbah KOA itu yang diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) antara lain untuk menjalinkan silaturrahim dengan masyarat berkenaan di samping mendengar denyut nadi mereka.

“Melalui program ini, kita mahu mendapatkan input daripada mereka dan secara umumnya program ini sangat berjaya,” katanya kepada Suara Perak.

Dalam masa sama, kata Drs Nizar, Jabatan Kehakimah Syariah turut menganjurkan program Khidmat Syariah dan lawatan ke empat buah rumah pelanggan Mahkamah Syariah.

Beliau menjelaskan, program itu antara lain untuk mendapatkan maklum balas mengenai perintah mahkamah yang telah diputuskan seperti tuntutan nafkah, edah dan mutaah (saguhati), yang kebanyakkannya melibatkan ibu tunggal.

“Kita mahu tahu apakah bayaran-bayaran yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah telah dibuat ataupun ada masalah-masalah lain,” ujar beliau.

Pada masa sama, ujarnya, khidmat nasihat dan kaunseling turut diberikan kepada ibu tunggal berkenaan untuk memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

Beliau menambah, terdapat kes bekas suami ingkar atau tidak mampu untuk menjelaskan bayaran yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tetapi bilangannya tidak ramai.

“Kerajaan turut membantu melalui tabung di bawah Bahagian Sokongan Keluarga untuk memberi pendahuluan sementara bekas suami dapat menjelaskan bayaran berkenaan,” katanya.

Pegawai Agama Perlu Ubah Pendekatan

SUNGKAI: Pegawai agama di negeri ini diminta mengubah pendekatan lebih kreatif dalam usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi agama.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu
perlu kerana bidang agama merupakan salah satu bidang yang dilihat secara kritis oleh rakyat.

Menurut beliau, mereka perlu turun padang bersama-sama masyarakat untuk memberi tunjuk ajar dalam bidang-bidang yang berkaitan seperti syariah dan undang-undang keluarga.

“Mungkin ramai yang tidak mengetahuinya, jadi kita mengambil pendekatan turun ke bawah berjumpa rakyat dan memberi penjelasan kepada mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Mahabbah Eidul Fitri bersama institusi agama Islam Perak dan warga Felda di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3 dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Dr Zambry berkata, usaha itu juga mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku
Ketua Agama Islam di negeri ini.

“Baginda juga merestui dan memberi ransangan kepada gerakan-gerakan bagaimana kita dapat berhubung dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, atas keprihatinan baginda masyarakat Islam mendapat penjelasan dan pembelaan yang baik melalui beberapa pendekatan baru yang dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, keprihatinan baginda mahu kaedah menyalurkan bantuan kepada asnaf dapat diubah supaya menjadi lebih kreatif.

Dr Zambry memuji usaha yang dilakukan oleh institusi agama, seperti Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam Perak dalam membantu kerajaan mencari jalan menyelesaikan masalah-masalah yang dialami rakyat di negeri ini.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan elaun kepada pegawai masjid dan saguhati kepada bakal-bakal hari di sekitar kawasan Felda tersebut.

Sebelum itu, Dr Zambry melawat tiga warga Felda Besout 3 yang uzur.

Pastikan Pendawaian Elektrik Ikut Prosedur Keselamatan – Drs Nizar

IPOH: Pusat pengajian agama di negeri ini diminta mematuhi prosedur keselamatan sekiranya mahu membuat pendawaian semula bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dalam masa yang sama, pihak pengurusan, khususnya di pusat pengajian yang telah lama, mesti melakukan pemeriksaan pendawaian secara berkala.

Menurut beliau, walaupun ia suatu kemalangan, tetapi ia mungkin dapat dielak atau dikurangkan risikonya dengan pemantauan berterusan.

“Baik ia sekolah agama rakyat, sekolah menengah agama negeri, maahad tahfiz atau pondok, kerajaan negeri sangat berharap agar mereka menitikberatkan faktor keselamatan,” katanya kepada Suara Perak pada Rabu.

Beliau mengulas kejadian kebakaran Pondok Latifiah (Pondok Pak Teh) di Pengkalan Hulu dan SM Maahad Al-Islah di Teluk Intan pada Ahad lalu.

Drs Nizar berkata, kejadian kemalangan di institusi pengajian agama di negeri ini masih dalam keadaan terkawal, ekoran peringatan berterusan yang diberikan oleh pihak berkenaan, termasuk lawatan berkala yang dilakukan nazir sekolah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya akan melakukan kutipan tabung Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri dua minggu ini untuk disumbangkan kepada dua pusat pengajian yang terbakar itu.

“Insya Allah, kerajaan negeri juga akan membantu untuk meringankan beban pihak pengurusan pusat-pusat pengajian itu,” tambahnya.

Dalam masa sama, Drs Nizar mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan daripada kejadian tersebut.

“Jika hendak memberi sumbangan, dapatkan maklumat yang betul atau terus memberi sumbangan kepada pihak pengurusan pondok atau maahad berkenaan,” ujarnya.

Isu DOJ Isu Yang Tiada Asas – Zaim

 

BOTA:Rakyat tidak akan terpengaruh dengan tuduhan saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat kerana ia merupakan suatu dakwaan yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Haji Mohd Zaim Haji Abu Hassan berkata semakin hari rakyat semakin sedar bahawa segala tuduhan oleh DoJ tidak mempunyai asas yang kukuh.

Justeru beliau yakin bahawa rakyat tidak akan  berminat dengan perkara-perkara berkenaan sebaliknya lebih memberi fokus kepada sesuatu yang lebih berasas.
“Bagi saya rakyat bijak dan hanya akan berpijak di bumi nyata dan masalah (isu dakwaan oleh) DoJ ini merupakan sesuatu dakawaan yang ‘terawang-awang’”, katanya.
Tambah beliau, DoJ sepatutnya tidak campur tangan dengan hal-hal yang melibatkan Malaysia.

“Saya menentang campur tangan pihak DoJ dalam urusan negera kita, biar kita yang menguruskannya melalui sistem perundangan negara kita.

“Dakwaan mereka tu hanya dalam bentuk umum dan tuduhan itu sama sekali tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Saya juga memuji pandangan mufti-mufti seperti di Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan sebagainya, yang tak menyokong campur tangan luar negara terhadap urusan negara kita”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aidilfitri 2017 di Perkarangan Surau Asliah, Kampung Aji Bota Kiri, Bota yang dihadiri kira-kita 500 orang.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Nizar berkata majlis sambutan aidilfitri pada kali ini menampilkan kelainan kerana ia diadakan mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kalau dahulu kita buat secara berpusat sama ada di Parit atau di Bota tapi kali ini kita buat mengikut PDM supaya lebih mudah untuk kita mendekati rakyat dan  pada masa sama rakyat dapat berjumpa terus dengan wakil rakyat dalam menyuarakan sebarang pandangan dan masalah mereka”, katanya.
Tambah Nizar majlis ini juga merupakan sebahagian dari program turun padang secara berterusan oleh Barisan Nasional  Parlimen Parit, serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Belanja dan sekitar.