Ismail Sabri calon PM bukti kesepakatan UMNO

IPOH – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan tidak berlaku sebarang pertelingkahan antara pimpinan tertinggi parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, keputusan itu juga menjadi bukti kepimpinan UMNO masih teguh bersatu.

Menurutnya, kesepakatan itu menunjukkan komitmen pimpinan utama parti dalam memastikan agenda membantu dan membela rakyat diteruskan.

“Sokongan yang diberikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan menafikan desas-desus kononnya berlaku dominasi antara mereka.

“Perkara ini merupakan keputusan terbaik UMNO daripada setiap dimensi sekali gus membantu parti merancang hala tuju termasuk kesiapsiagaan berhadapan PRU nanti,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Mohd Nizar berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang mempunyai kelebihan dalam konteks semangat berasaskan Perlembagaan demi kestabilan parti dan negara.

“Kita bermula dari akar umbi sampai ke pucuk pimpinan memahami bahawa UMNO lebih mengutamakan kestabilan parti dan negara. Inilah formula sebenar UMNO.

“Disiplin tinggi bermula dari peringkat cawangan, bahagian, Perhimpunan Agung UMNO dan MKT ini yang membentuk satu keputusan selari dengan mengambil kira segala bentuk kepentingan parti dan pandangan ahli,”


MySejahtera: PAC dengar keterangan Zafrul, Khairy

Jawatankuasa Kira-kira Negeri (PAC) hari ini mendengar keterangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkenaan aplikasi MySejahtera.

Menurut Pengerusi PAC Wong Kah Woh, pendengaran hari ini mengambil masa tiga jam.

Wong juga berkata saksi-saksi lain juga akan dipanggil.

“PAC akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) pada 21 April ini untuk memberikan keterangan dan penjelasan berhubung isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pendengaran PAC hari ini menumpukan lima aspek berkaitan MySejahtera:

  • Pemberian kontrak pmbangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. pada April 2020.
  • Pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn Bhd oleh kerajaan pada November 2021 serta status rundingan kerajaan dengan syarikat berkenaan.
  • Pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, source code aplikasi, harta intelek dan pangkalan data.
  • Komitmen kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera.
  • Entiti syarikat yang terlibat dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn. Bhd., KPI Soft Sdn. Bhd. dan entiti-entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang-pemegang saham MySJ Sdn. Bhd di mahkamah.

Pengendalian aplikasi MySejahtera kembali menjadi perhatian selepas siasatan PAC terhadap program pemerolehan kerajaan berkenaan wabak Covid-19.

Ketika siasatan, penjawat awam yang memberi keterangan mendedahkan kerajaan merancang untuk mula membayar MySJ Sdn Bhd bagi mengendalikan aplikasi itu.

Dokumen mahkamah juga membayangkan aplikasi itu akan dikomersialkan.

Setakat ini, kerajaan tidak mendedahkan rancangannya terhadap MySejahtera walaupun di saat Malaysia dalam Fasa Peralihan ke Endemik – yang juga bermakna fungsi pengesanan dalam aplikasi itu kian kurang relevan.

Pada 31 Mac lalu, Khairy memberitahu Dewan Negara bahawa Kementerian Kesihatan berhasrat menggunakannya untuk fungsi lain, seperti sistem rekod kesihatan digital.

Beberapa pihak membantahnya kerana rakyat Malaysia hanya setuju untuk mendedahkan maklumat peribadi mereka dengan menggunakan aplikasi itu khusus untuk menangani Covid-19.

Tanah lapangan terbang dijual ketika zaman PH

PARIT – Kerajaan Perak mengesahkan tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang di Seri Iskandar telah dijual kepada syarikat swasta ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), tanah tersebut diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi tujuan pembinaan lapangan terbang tersebut.

Menurutnya, tanah tersebut tidak boleh diambil semula memandangkan syarikat berkenaan sudah pun mendapat kebenaran merancang untuk melaksanakan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.

“Masa BN kita simpan tanah itu. Masa PH mereka jual. Jadi kita tiada lagi tanah untuk buat lapangan terbang.

“Tanah itu telah pun diluluskan untuk tujuan pembangunan bercampur. Terpulang kepada syarikat itu nak buat apa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak 2021 di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota Kanan pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed; Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah JPV Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Saarani berkata, kerajaan negeri terpaksa mencari tapak baharu yang lebih sesuai bagi pembinaan lapangan terbang yang dicadangkan.

Katanya, pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa merupakan satu keperluan di negeri ini bagi membolehkan kapal terbang lebih besar mendarat di Perak.

Mesyuarat khas PAC teliti kes pembaziran dilaporkan LKAN 2020 Siri 1

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti beberapa kes pembaziran yang dilapor dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 hari ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, antara isu yang mendapat perhatian jawatankuasa itu adalah kes pemborosan berjumlah RM2.81 juta membabitkan Projek Menaik Taraf Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, satu kes pembaziran membabitkan Pengurusan Program Pembangunan Boleh Tenaga Baharu berjumlah RM16.77 juta di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Satu kes kehilangan wang awam turut dikesan membabitkan Aktiviti Kawalan Terhadap Penggajian Ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Datuk Nor Salwani Muhammad dan Timbalan Ketua Audit Negara (Pengurusan Syarikat Kerajaan) Roslan Abu Bakar yang sebelum itu memberi taklimat kepada ahli PAC.

LKAN 2020 Siri 1 merangkumi Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Wong berkata LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan juga mendedahkan terdapat isu membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang gagal memulangkan wang caruman kerajaan berjumlah RM600.59 juta kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) selain pembayaran dividen yang tidak teratur.

Beliau berkata daripada 682 isu pengauditan, lima berpotensi dikenakan tindakan punitif manakala 677 isu membabitkan isu korektif.

Wong berkata PAC akan memilih dan membuat keputusan terhadap subjek-subjek untuk memulakan prosiding tertakluk kepada keputusan sebulat suara kesemua ahli PAC berhubung isu yang akan disiasat.

“Sememangnya semasa sidang Parlimen setiap minggu kami mengadakan mesyuarat untuk tiga hari…minimum tiga hari dan maksimum empat hari. Sidang Parlimen dijangka berakhir Khamis ini dan PAC akan mengatur jadual kami pada bulan April, Mei dan Jun ini,” katanya.

Disiarkan pada: Mac 22, 2022 @ 4:54pm

310 PMKS terima manfaat BEEP RM38.7 juta pada 2021 – Noh

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM38.7 juta geran diluluskan yang memberi manfaat kepada 310 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata program berkenaan menyediakan bantuan berbentuk geran dengan nilai maksimum sehingga RM500,000 bagi tujuan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS)

Katanya, namun, program BEEP ini tidak menyediakan geran secara keseluruhan (100 peratus) tetapi diberikan dalam bentuk geran padanan dan tertakluk kepada kelulusan.

“Bantuan geran yang dipertimbangkan mengikut saiz syarikat seperti yang mana 90 peratus untuk syarikat bersaiz mikro, 60 peratus untuk syarikat bersaiz kecil, dan 50 peratus untuk syarikat bersaiz sederhana.

“Geran padanan ini dilaksanakan bagi memastikan adanya komitmen di pihak syarikat untuk menanggung sebahagian kos dan menjadi antara kaedah kawalan risiko di pihak kerajaan bagi memastikan syarikat komited untuk meneruskan projek yang diluluskan sehingga selesai,” katanya pada sesi soal jawab lisan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Nizar dalam soalannya ingin mengetahui sama ada kementerian itu bercadang menukar geran bantuan yang diberikan sebelum ini kepada geran padanan boleh ubah.

Noh menjelaskan bagi syarikat PKS yang memohon pembiayaan untuk menambah baik perniagaan di bawah Program Pembiayaan Digital PMKS (DFI), mereka layak untuk mendapat penukaran geran sehingga 50 peratus (maksimum RM250,000) daripada perbelanjaan yang layak dimohon.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pembelian mesin dan peralatan; aplikasi sistem, eCommerce, e-Pembayaran dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT); pembungkusan dan produk pembungkusan; pengiklanan dan promosi dan Persijilan dan Sistem Pengurusan Kualiti.

Beliau berkata, sehingga Oktober tahun lalu, sejumlah 20 PKS sudah mendapat kelulusan penukaran geran membabitkan kos berjumlah RM4.7 juta di bawah SME Corp Malaysia yang baharu dimulakan pada akhir tahun lalu.

Ahli Parlimen cadang i-Ceria, pengeluaran terakhir KWSP

Kuala Lumpur: Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan “i-Ceria” Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hiudp.

“Tuntutan ini bukan menidakkan kebimbangan kerajaan terhadap simpanan hari tua, tuntutan saya ini juga bukanlah menafikan fakta mengenai 20 peratus daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan yang cukup di hari tua.

“Tuntutan saya pada hari ini adalah semata-mata untuk memastikan permintaan Keluarga Malaysia dipenuhi, khususnya buat mereka yang masih bergelut dengan kesusahan akibat pandemik Covid-19, ditambah pula musibah banjir yang telah berlaku baru-baru ini,” katanya.

Justeru, Mohd Salim berkata sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula tuntutan rakyat iaitu pengeluaran KWSP untuk kali terakhir dan secara bersasar bagi mereka yang memerlukan, bergantung kepada jumlah simpanan.

Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi beberapa siri inisiatif, i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari.

Cadangan berkenaan turut dipersetujui beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit), M Karupaiya (PH-Padang Serai), Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) dan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat).

Sementara itu Karupaiya dan Hasan berpendapat kerajaan perlu mengawal kenaikan harga barang susulan tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab cenderung menaikkan harga ketika rakyat menerima bantuan kewangan.

Hasan berkata ini menyebabkan kuasa beli kalangan rakyat semakin berkurang walaupun mempunyai wang, oleh itu kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan dalam mengawal harga barangan terutama di kawasan luar bandar.

Xavier pula berpendapat cadangan i-Ceria itu bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi negara yang memerlukan masa untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan kerajaan bertanggungjawab membantu anggota Keluarga Malaysia khususnya golongan B40.

Daging lembu RM15 sekilo jadi rebutan

PARIT- Daging lembu segar berharga RM15 sekilogram menjadi rebutan pada program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Parit di Seri Iskandar di sini, hari ini.

Orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang serta sanggup beratur dan menunggu lebih 30 minit seorang untuk membeli daging berkenaan.

Salah seorang pengunjung, Amirah Syafiqah Khairi, 32, berkata, pada mulanya dia datang untuk membeli barang keperluan yang dikatakan dijual pada harga berpatutan.

“Tapi bila saya sampai saya tengok mereka buat pengumuman daging lembu segar dijual pada harga RM15 dan ia sangat murah, jadi saya terus maklumkan pada rakan-rakan lain.

“Kita tahu kalau di luar harga lembu segar lebih RM30 sekilogram jadi ini memang sangat murah dan ia membantu saya berjimat dalam perbelanjaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, sambutan luar biasa pada tiga program sama sebelumnya menyebabkan beliau menambah bekalan daging kali ini.

Menurut Mohd. Nizar, jika sebelum ini hanya seekor lembu disembelih tetapi untuk kali ini dia meminta peniaga berkenaan menambah seekor lagi lembu.

“Peniaga daging ini jual dengan harga RM15 dan bakinya saya akan bayar, maksudnya di sini kita tolong-menolong, bantu-membantu dan akhirnya rakyat berbelanja dapat menikmati sedikit sebanyak.

“Pada hari ini ada sebanyak 320 kilogram daging untuk dijual kepada orang ramai,” katanya.

Katanya lagi, jualan daging lembu berkenaan merupakan inisiatif beliau membantu penternak serta rakyat untuk menjual dan membeli dengan harga yang murah. – KOSMO! ONLINE