IPOH, 20 Jun – Semua bapa adalah petugas barisan hadapan (frontliners) untuk memimpin keluarga berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai ketua keluarga, bapa juga perlu memberikan perlindungan yang sepatutnya kepada ahli keluarga.

Menurutnya, mereka juga perlu memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada keluarga di saat melalui detik-detik sukar sekarang.

“Lakukan aktiviti berfaedah bersama ahli keluarga, saling menghargai dan menerapkan nilai-nilai murni.

“Harapan saya agar para bapa terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga dan bersama-sama dalam mendoakan agar wabak ini hilang dari muka bumi ini,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Bapa hari ini yang bertemakan ‘Bapa Pemimpin, Keluarga Sejahtera’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, ketika ini, antara tanggungjawab bapa ialah mengambil vaksin serta menyarankan ahli keluarga yang lain untuk sama-sama memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada seluruh kaum bapa di Malaysia, terutamanya petugas barisan hadapan, beliau berharap semoga para bapa terus menjadi tonggak keharmonian keluarga.