KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyediakan dokumen lebih jelas tentang konsep Keluarga Malaysia.

Menegaskan perkara itu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berkata, ia bertujuan supaya konsep yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dilihat sebagai retorik politik semata-mata.

“Apakah konsep Keluarga Malaysia akan menjadi teras atau pegangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya sama seperti Rukun Negara?

“Sejauh manakah pendekatan kekitaan dalam Keluarga Malaysia itu mempengaruhi setiap lapisan  masyarakat dan apakah program itu untuk dilaksanakan kelak?

“Setakat mana idea inovasi kerajaan dalam memastikan konsep Keluarga Malaysia ini bukan setakat bertahan di bawah pucuk pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semata-mata, tetapi kita hendak melihat konsep Keluarga Malaysia terus segar dan relevan waima negara mencapai 100 tahun kekal kemerdekaan mahupun 100 tahun pembentukan Malaysia itu sendiri,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, dokumen yang jelas mengenai konsep Keluarga Malaysia adalah penting bagi memastikan penghayatannya lebih teratur dan tidak disalah tafsir.

“Pengenalan Keluarga Malaysia amat tepat dan sangat wajar diterjemahkan ketika rakyat Malaysia dalam keadaan resah memikirkan apa yang berlaku esok.

“Terjemahan Perdana Menteri telah mengembalikan kita kepada perkara asas iaitu permulaan kehidupan dan keutuhan bermula dari keluarga yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi kebersamaan negara dengan nilai didikan yang sempurna dalam sesebuah negara.

“Menerusi Keluarga Malaysia Perdana Menteri mengajak kita untuk terus bersatu hati dan memperbaiki kelemahan dan mengembalikan kekuatan sedia ada,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE