Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) bertanya apa tindakan yang akan diambil kerajaan terhadap golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi rakyat agar menolak vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan.

Katanya, dia menghargai usaha kerajaan termasuk memperuntukkan kos besar dalam Belanjawan 2021 bagi mendapatkan akses vaksin Covid-19, namun tambahnya, semua usaha itu akan menjadi sia-sia jika gerakan golongan berkenaan berjaya mempengaruhi orang ramai.

“Apa yang menjadi kegusaran saya apabila belum pun lagi vaksin ini diperolehi, wujud gerakan golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi rakyat untuk menolak vaksin yang bakal diperolehi nanti.

“[…] Apakah keadaan yang akan dilaksanakan oleh kementerian dalam membanteras fahaman golongan antivaksi yang cuba mempengaruhi orang ramai daripada menerima vaksin?

“Serta apa tindakan tegas yang akan dikenakan kepada golongan antivaksi yang cuba memberi fahaman salah mengenai vaksin?” soalnya dalam katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Gerakan antivaksin digerakkan oleh golongan yang menolak penggunaan vaksin, antaranya menggunakan media sosial, dengan fahaman bahawa vaksin mengandungi bahan yang tidak selamat.

Ada juga dakwaan gerakan ini bahawa penggunaan vaksin menyebabkan beberapa masalah kesihatan, antaranya autisme, meskipun hal ini ditepis ramai pakar perubatan kerana didakwa tidak berdasarkan fakta saintifik.

Semalam, dalam sesi soal jawab lisan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 melibatkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus, manakala dua lagi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).

Katanya terdapat beberapa rundingan yang berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.

Ini ekoran makluman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa 3 setakat 13 Nov lepas.

Sebelum ini, dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Azizi, RM3 bilion diperuntukkan untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Selain mempersoalkan tentang tindakan kerajaan terhadap golongan antivaksin ini, Mohd Nizar turut bertanya tentang status halal vaksin yang akan didapatkan daripada pengeluar vaksin Covid-19.

“Sejauh mana kementerian akan memastikan status halal vaksin yang akan diterima sebelum ia diterima oleh kerajaan?

“Saya juga ingin mencadangkan agar vaksin yang akan diterima ini haruslah berkualiti dan selamat,” katanya lagi.