SERI ISKANDAR, 16 Sept – Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting untuk membantu menjayakan program vaksinasi yang dianjurkan kerajaan.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai ibu, bapa atau anak-anak, setiap daripada mereka bersama-sama bertanggungjawab untuk menjayakan program vaksinasi

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia sekeluarga untuk sama-sama menyahut saranan kerajaan untuk program vaksinasi untuk sama-sama menjaga diri,” katanya selepas merasmikan Kempen Jom Vaksin Penuh Keluarga Malaysia di Ampang Super Bowl di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Program itu yang dianjurkan Persatuan Boling Seri Iskandar antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan vaksinasi Covid-19 kepada semua.

Mohd Nizar yang juga Ahli Parlimen Parit berkata, kerajaan sentiasa berikhtiar untuk membolehkan kehidupan rakyat kembali normal.

“Semua rakyat ingin bebas seperti biasa, boleh untuk ke sekolah, bersukan dan pelbagai aktiviti lain kerana sudah terlalu lama institusi keluarga berada di rumah,” ujarnya.

Oleh itu, katanya vaksinasi sangat penting di samping pematuhan SOP supaya rakyat ada keyakinan untuk jalani kehidupan seharian seperti sedia kala.

“Kalau 80 peratus, 90 peratus telahpun divaksin, insya Allah ia akan melandaikam lengkuk Covid-19 yang nampaknya sudah mula menampakkan hasil,” tambahnya.

Sementara itu, Khairul Shahril memuji usaha yang dilakukan Persatuan Boling Seri Iskandar menganjurkan program itu yang bertemakan ‘Jom Vaksinasi Penuh Keluarga Malaysia’.

“Satu lagi perkara positif yang dibuat hari ini ialah mereka membawa konsep motivasi kepada komuniti, khususnya komuniti boling,” katanya.

Menurutnya, jika anggota masyarakat ingin menjalankan aktiviti kegemaran atau hobi mereka, mereka perlu memastikan telah mendapat dua dos lengkap.

“Kalau tak lengkap, bukan persatuan tidak mengalu-alukan mereka tetapi prosedur operasi standard (SOP) itu sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, Covid-19 sekarang sudah hampir memasuki fasa endamik yang bermakna masyarakat perlu hidup bersama-samanya.

“Tetapi bagaimana cara untuk kita bersama, itu yang perlu kita uruskan dengan sebaik mungkin. Pengurusan utama kita di samping SOP, kita juga mesti memastikan diri kita, keluarga, sahabat dan jiran tetangga mengambil vaksin,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya di Daerah Perak Tengah yang begitu aggresif menjalankan program vaksinasi.

Menurutnya, selain program di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mereka juga telah memulakan program ‘outreach’ pergi rumah ke rumah untuk memberi vaksin kepada mereka yang terlantar.

“Perancangan yang terbaru kita lihat pusat vaksin ini akan diperluaskan lagi di pusat-pusat kesihatan kecil supaya ia lebih rapat dengan komuniti,” katanya.

Kata beliau, usaha yang dilaksanakan itu harus disambut oleh seluruh masyarakat, samada warga atau bukan warga.

Selesai program itu, Khairul Shahril menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang dalam pertandingan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.