IPOH – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria menafikan dakwaan menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, tiada sebarang akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani menyokong ketua pembangkang itu seperti dakwaan yang tular.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terlibat dalam polemik ini. Sebagai seorang Ahli Parlimen UMNO, saya sentiasa berpegang kepada prinsip serta sentiasa akur kepada segala arahan dan keputusan yang telah dibuat oleh UMNO.

“Dari dahulu hingga sekarang, saya tetap setia kepada parti serta akan terus berpegang teguh kepada pendirian UMNO dan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Penafian itu dibuat berikutan laporan sebuah televisyen swasta hari ini mendakwa Presiden PKR itu telah meraih SD dalam kalangan ahli Parlimen termasuk 10 daripadanya membabitkan dari UMNO.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin turut menyangkal dakwaan yang sama.