PARIT: Lebih 600 bakul makanan di bawah Program Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) telah diedarkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Parit.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, secara keseluruhan sebanyak 3,000 bakul makanan disediakan di bawah Pemulih di kawasan Parit dengan setiap satu bakul bernilai RM100.

Menurutnya, bakul makanan kepada penduduk mengandungi 13 jenis barangan asas mengikut spesifikasi yang diberikan Unit Penyelaras dan Pelaksanaan (ICU).

“Di Parlimen Parit, kita kumpulkan nama-nama mereka yang terkesan Covid-19 daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat hingga ke agensi kerajaan.

“Kita selaraskan dan hantar kepada mereka yang memerlukan atau yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi Covid-19 Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, di Dewan Serbaguna Kampung Tua di sini.

Mohd. Nizar meminta penduduk di Parlimen Parit agar tidak malu untuk memohon bantuan bakul makanan sekiranya kehabisan atau kekurangan bekalan makanan asas.

Menurutnya, ini kerana tidak dapat diramalkan bila wabak Covid-19 akan berakhir.

“Kita tak tahu pandemik ini lama mana, jika ada yang terkesan ada masalah jangan malu jangan segan maklumkan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen, DUN dan Pejabat Penghulu.

“Orang ramai yang ada maklumat individu susah atau perlukan barang makanan, sampaikan terus kepada kami untuk kita berikan bantuan dan bukan tularkan dalam media sosial, kata tak dapat itu dan ini.

“Tindakan menularkan perkara sedemikian bukanlah jalan yang terbaik sebaliknya perlu dimaklumkan segera kepada pihak yang boleh membantu,” katanya.