KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 kes pemujaan salah yang bertentangan dengan ajaran Islam dilaporkan sejak Januari 2020 hingga September lalu.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, daripada jumlah berkenaan, 33 kes perbuatan ajaran salah itu dilaporkan sepanjang tahun lalu, manakala 14 kes lagi dari Januari hingga September tahun ini.

Justeru, beliau berkata, beberapa langkah bagi mengatasi isu berkaitan penyelewengan akidah umat Islam telah dilakukan termasuk bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam aspek penyelidikan berkaitan ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki mengeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, Idris menambah, Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) turut mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan.

“Melaksanakan kajian secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).”Ini termasuk kajian dari sudut kesan dan implikasi apabila sesuatu pandangan hukum mengenai ajaran sesat dikeluarkan.

“Jabatan Mufti di negeri mengeluarkan fatwa mengenai ajaran terbabit mengikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa/Muzakarah Fatwa Negeri Negeri,” katanya pada Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanya mengenai jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini serta usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan bagi bagi mencegah penyebaran ajaran sesat.